Pusat Media

Penurunan Harga Dan Peningkatan Kelajuan Perkhidmatan Jalur Lebar Tetap Dinikmati Rakyat

25 Jan 2019
CYBERJAYA, 25 Januari 2019 --- Pada Oktober 2018, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengumumkan pelaksanaan Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP) telah melebihi sasaran 25% penurunan harga pada Disember 2018, dengan mencatat lebih daripada 30% penurunan harga untuk pakej permulaan jalur lebar berkelajuan tinggi. Pada masa yang sama, syarikat telekomunikasi juga menawarkan kelajuan yang lebih tinggi pada harga yang lebih rendah atau pada harga yang sama.

Pada bulan yang sama juga, Speedtest Global Index menunjukkan kedudukan Malaysia telah meningkat 10 mata ke kedudukan ke-26 di dunia dengan purata kelajuan perkhidmatan jalur lebar 61.97Mbps berbanding dengan kelajuan purata dunia 50.88Mbps. Pada Disember 2018 pula, Kesatuan Telekommunikasi Antarabangsa (ITU) telah mengumumkan kedudukan Malaysia telah meningkat 6 mata dari tempat ke-41 ke tempat ke-35, untuk kategori harga perkhidmatan jalur lebar tetap.

Pengerusi MCMC, Al-Ishsal Ishak berkata, “Malaysia berada di landasan yang betul dan sedang berkembang dalam Ekonomi Digital. MCMC, selaku badan yang bertanggungjawab mencorak landskap digital negara ini, sedar bahawa masih terdapat ruang untuk meningkatkan kualiti dan memastikan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi sampai kepada seluruh rakyat.”

“Kami maklum masih ada pelanggan syarikat telekomunikasi yang belum dinaiktaraf kelajuan perkhidmatan jalur lebar mereka. Saya ingin memaklumkan bahawa penaiktarafan perkhidmatan yang dijalankan oleh syarikat telekomunikasi adalah secara berperingkat dan pihak MCMC telah dimaklumkan oleh syarikat tersebut setakat bulan Disember 2018, lebih kurang 75% pelanggan telah dinaiktaraf dan selebihnya dijangka selesai pada pertengahan tahun ini,” jelas beliau.

Terdapat juga rungutan bahawa pelanggan tidak menikmati kelajuan yang dijanjikan oleh syarikat telekomunikasi. MCMC sentiasa memantau kualiti perkhidmatan jalur lebar melalui Standard Mandatori untuk Kualiti Perkhidmatan (Perkhidmatan Jalur Lebar Tetap) di mana pelanggan harus menerima sekurang-kurangnya 90% daripada kelajuan yang dijanjikan oleh syarikat telekomunikasi pada 90% waktu. Sekiranya syarikat telekomunikasi tidak mematuhi Standard Mandatori tersebut, MCMC akan mengambil tindakan sewajarnya.

Menurut Al-Ishsal lagi, MCMC akan meneruskan usaha untuk memantau syarikat telekomunikasi dan meningkatkan infrastruktur untuk perkhidmatan jalur lebar. Untuk tujuan tersebut, MCMC sedang memuktamadkan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) untuk meningkatkan liputan dan kelajuan perkhidmatan jalur lebar pada harga mampu milik, yang akan menyokong pertumbuhan Ekonomi Digital di Malaysia.  

Tamat.
Kongsi artikel ini
Follow