Pusat Media

Regulatory Action Uplifts Malaysia's Telecommunications Sector

06 Jul 2019
TINDAKAN PENGAWALSELIAAN JULANG SEKTOR TELEKOMUNIKASI NEGARA
  • Laporan Bank Dunia mengenai “Re-energising the Public Service” yang disiarkan pada 30 Jun 2019, memuji usaha pihak kerajaan dalam menjulang sektor telekomunikasi
  • Laporan berkenaan mengiktiraf kejayaan MSAP dalam memastikan kesalinghubungan jalur lebar yang mampu milik untuk semua
CYBERJAYA, 6 Julai 2019 --- Usaha-usaha progresif yang diambil oleh kerajaan Malaysia dalam menjulang sektor telekomunikasi negara telah mendapat pengiktirafan Bank Dunia melalui laporan terkininya, iaitu Malaysia Economic Monitor: Re-energising the Public Service, yang disiarkan pada 30 Jun 2019.

Salah satu artikel dalam laporan itu bertajuk “Malaysia’s need for speed: How regulatory action is unleashing ultrafast internet” menyambut baik usaha-usaha pengawalseliaan yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan sokongan YB Gobind Singh Deo, yang berpegang kepada mantra ‘Double the speed, half the price’ sebagai prinsip panduan dalam mencapai perkhidmatan jalur lebar tetap berpatutan dengan sambungan internet yang lebih cepat.

Pelaksanaan Standard Mandatori Harga Capaian (MSAP) oleh MCMC pada Oktober 2018 telah menyebabkan penurunan harga sebanyak 49% secara purata untuk pakej permulaan jalur lebar berkelajuan tinggi. Sebelum ini, harga-harga bagi pakej permulaan adalah antara RM119 hingga RM129 untuk 10 megabit sesaat (Mbps). Dengan MSAP, harga-harga pakej permulaan hanyalah antara RM79 hingga RM89 untuk 30Mbps. Tambahan pula, bilangan langganan jalur lebar tetap dengan kelajuan muat turun melebihi 100Mbps meningkat kepada 1.2 juta langganan pada 2018, berbanding dengan 150,000 langganan pada 2017.

Daripada segi kebolehcapaian pula, artikel Bank Dunia itu menyatakan bahawa Malaysia bersedia untuk merapatkan jurang dengan negara-negara terkemuka berhubung isu kelajuan Internet. Dalam tempoh 17 bulan sahaja, kelajuan jalur lebar tetap Malaysia secara purata telah meningkat lebih tiga kali ganda, daripada 22.5 Mbps pada Januari 2018 kepada 68.5 Mbps pada Mei 2019, iaitu melebihi purata global iaitu 59.6 Mbps.

Di bawah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara atau NFCP, MCMC merancang untuk menambahbaik aspek mampu milik, kualiti serta kebolehcapaian kesalinghubungan digital sebagai platform untuk negara menerima revolusi industri yang keempat (IR 4.0) yang membawa kepada ‘gangguan teknologi’ ataupun disruptive technologies seperti kecerdasan buatan AI, robotic, data raya atau big data dan kejuruteraan maya.

Pengerusi MCMC Al-Ishsal Ishak berkata: “Laporan Bank Dunia ini membuktikan keberkesanan insiatif, polisi, dan tindakan yang dilaksanakan oleh MCMC. Sebagai sebuah badan pengawal selia yang bertanggungjawab terhadap industri komunikasi dan multimedia, MCMC bermatlamat untuk memastikan bahawa standard kesalinghubungan di seluruh negara mampu memberi nilai tambahan kepada rakyat serta menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negara yang kukuh dan mampan.

Untuk maklumat terperinci mengenai Laporan Bank Dunia, layari: http://www.worldbank.org/en/country/malaysia/publication/malaysia-economicmonitor-reports

PDF


 PDF

Kongsi artikel ini
Follow