Media & Events

4,000 peniaga, penjaja disasar sertai inisiatif Cashless Melaka

09 Aug 2023, Astro Awani
MELAKA: Kira-kira 4,000 peniaga dan penjaja disasar menyertai inisiatif 'Cashless Melaka' menjelang hujung tahun ini bagi menggalakkan transaksi bayaran tanpa tunai.

Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Mohd Noor Helmy Abdul Halim berkata lebih 1,200 peniaga dan penjaja menyertai inisiatif berkenaan sejak ia dimulakan pada Mac lepas sempena Ramadan.

"Semua inisiatif Cashless Melaka ini diyakini dan terbukti selamat selain ia dapat memudahkan lagi aktiviti jual beli antara pengguna dan peniaga.

"Kita juga menerima maklum balas terdapat peningkatan 2.5 peratus hasil jualan daripada peniaga selepas terlibat dalam inisiatif ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Cashless Melaka Walkabout @ Pasar Malam Taman Seri Duyong yang turut dihadiri Ketua Pegawai Kawal Selia Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Zulkarnain Mohd Yasin dan Pengarah MCMC Melaka Muhammad Luqman Ali.

Mohd Noor Helmy berkata bagaimanapun, sehingga kini pihaknya mendapati kesedaran mengenai transaksi bayaran tanpa tunai itu masih rendah dalam kalangan masyarakat terutamanya peniaga yang sudah sekian lama menggunakan transaksi tunai.

Justeru, katanya kempen promosi dan inisiatif Cashless Melaka giat dijalankan dalam memacu agenda masyarakat tanpa tunai di negeri itu.

"Inisiatif ini bertujuan mempertingkat penggunaan tanpa tunai dalam kalangan masyarakat terutama sektor perniagaan dan peruncitan selaras dengan aspirasi Melaka menjadi negeri pintar atau Smart City seperti digariskan di bawah Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2034 dan Smart Melaka Blueprint 2035," katanya.

-- BERNAMA
Share this article
Follow