Media & Events

443 laman sesawang pelaburan tidak sah disekat

17 Oct 2023, Harian Metro

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah menyekat 443 laman sesawang yang terbabit dengan aktiviti pelaburan tidak sah dalam tempoh tiga tahun ini.

Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) berkata, bagi tempoh antara tahun 2020 sehingga 30 September lalu, pihak MCMC membantu menyekat akses kepada 443 laman sesawang yang terbabit dengan aktiviti pelaburan tidak sah berdasarkan daripada permohonan pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Menurutnya, tindakan terhadap kegiatan pelaburan tidak sah, tertakluk bidang kuasa SC.

"Perundangan sedia ada seperti Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 [Akta 1499] digunakan untuk menguatkuasakan undang-undang terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab dalam menjalankan aktiviti pelaburan tidak sah.

"Penglibatan MCMC meliputi aspek bantuan teknikal berhubung pelaksanaan tindakan sekatan berdasarkan permohonan daripada pihak SC," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sudah melengkapkan kertas siasatan berhubung pendedahan Harian Metro berkaitan penipuan pelaburan kononnya patuh syariah yang membabitkan kerugian mencecah RM1 bilion.

SSM berkata, sehingga 30 September lalu, pihaknya menerima 409 aduan berkaitan penipuan didakwa membabitkan beberapa syarikat yang menawarkan skim pelaburan berkonsep saham boleh tebus syariah dari Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).

Harian Metro menerusi laporan bersiri bermula 22 Jun lalu mendedahkan 200 orang menjadi mangsa penipuan skim pelaburan patuh syariah dengan nilai kerugian mencecah RM1 bilion.

Syarikat terbabit akan menampilkan diri mereka dengan memakai sut berjenama, mempamerkan kenderaan mewah dan rumah besar serta menunjukkan ciri islamik bagi memperdaya orang ramai untuk melabur.

Malah bagi menyakinkan pelabur mereka turut menampilkan wajah tokoh agama, pendakwah bebas dan selebriti yang kononnya turut melabur di syarikat terbabit sedangkan perkara itu tidak berlaku.

Susulan laporan ekslusif Harian Metro, SSM yang menerima aduan daripada mangsa membuka kertas siasatan.

Share this article
Follow