Media & Events

Industri komunikasi dan multimedia sumbang lebih RM140 bilion - Fahmi

24 Jul 2023, Berita RTM
PUTRAJAYA, 24 Julai- Industri komunikasi dan multimedia menyumbang sebanyak RM140.38 bilion daripada keseluruhan RM1.736 trilion permodalan pasaran Bursa Malaysia tahun lalu.

Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil berkata, jumlah itu menunjukkan kepentingan industri berkenaan kepada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi digital negara.

“Kehadiran industri Komunikasi dan Multimedia dalam Bursa Malaysia menandakan kepentingannya sebagai penggerak di sebalik kemajuan teknologi dan transformasi digital.

“Menerusi saluran komunikasi dan platform multimedia yang cekap, industri ini berfungsi sebagai pemangkin kepada pelbagai sektor untuk memanfaatkan kuasa kesalinghubungan dan inovasi," katanya.

Ucapan beliau itu dibacakan oleh Ketua Setiausaha KKD, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa pada Majlis Pelancaran ‘Converged Telecommunication Policy and Regulations’ (CTPR) 2023 Master Class di sini.

Tambah Fahmi, teknologi menjadi jambatan yang menghubungkan dimensi baharu dalam perkhidmatan digital selain dapat dilihat menerusi pelaksanaan inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi memperkasakan negara dengan penyediaan capaian internet lebih stabil.
Share this article
Follow