Media & Events

Kerajaan hasrat tingkat kedudukan Malaysia dalam Indeks Pembangunan Manusia PBB

27 Jul 2023, Utusan Borneo
KUALA LUMPUR: Kerajaan berhasrat untuk meningkatkan kedudukan Malaysia ke tangga ke-25 dalam Indeks Pembangunan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mengambil kira keberhasilan kesihatan dan pendidikan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika mengumumkan inisiatif Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat di sini hari ini, Anwar berkata untuk itu, akses kepada kesihatan dan pendidikan berkualiti menjadi keutamaan kerajaan dan peruntukan akan ditingkatkan sejajar dengan kemampuan kewangan kerajaan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kemampanan sistem kesihatan amat penting bagi menjamin kesejahteraan rakyat yang hakiki.

“Sepertimana disarankan dalam Kertas Putih Kesihatan, kerajaan komited ke arah sasaran lima peratus KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) untuk perbelanjaan perkhidmatan kesihatan dengan mengoptimumkan sistem kesihatan awam dan swasta.

“Kertas Putih Kesihatan merangkumi strategi untuk tempoh 15 tahun bermatlamat mewujudkan sistem kesihatan yang lebih mampan, berdaya tahan dan berkualiti ke arah meningkatkan tahap kesejahteraan rakyat dan akses kepada kesihatan buat semua. Antara pendekatan yang akan diambil termasuklah penjagaan kesihatan di tahap primer yang bersifat keseluruhan masyarakat,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata penyediaan akses kesihatan yang berkualiti dizahirkan dengan pembinaan Pusat Kawalan Penyakit Negara dengan nilai kos projek RM305 juta di Negeri Sembilan.

Beliau berkata pusat berkenaan berperanan bukan sekadar sebagai pusat rujukan penyakit tetapi juga sebagai kemudahan mempersiapkan negara dalam menghadapi sebarang kemungkinan pandemik pada masa akan datang.

Anwar berkata selain itu anjakan paradigma baharu termasuklah peralihan pendekatan kesihatan awam daripada merawat pesakit kepada pencegahan penyakit iaitu sifat kendiri rakyat akan diperkasakan bagi mengekalkan, melindungi dan menambah baik kesihatan kendiri.

Mengenai pendidikan, beliau berkata kerajaan akan terus menyediakan persekitaran sekolah yang selesa serta kemudahan yang terbaik buat anak-anak.

“Pelbagai usaha telah kita lakukan khususnya menambah peruntukan, mudahkan tatacara perolehan serta menurunkan kuasa pelaksanaan bagi mempercepat pelaksanaan projek-projek sekolah dan menambah baik sekolah-sekolah daif. Pada masa yang sama, projek JENDELA (Pelan Jalinan Digital Negara) diteruskan bagi memastikan semua sekolah dilengkapi dengan internet,” kata beliau.

Mengakui pendidikan bersifat penawaran, Anwar berkata pendidikan negara perlu lebih berminda permintaan dengan mengeratkan kerjasama dengan industri dan majikan terutamanya dalam pelaksanaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seperti yang dilaksanakan di Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC).

“Menyedari hakikat bahawa kita kini hidup dalam ekonomi global yang sentiasa berubah dan mencabar, maka perlunya sebuah pendekatan pembelajaran sepanjang hayat yang lebih progresif untuk semua rakyat Malaysia.

“Kita perlu menyediakan laluan pembelajaran sepanjang hayat dalam apa pun kemahiran yang ingin rakyat pelajari, sama ada di universiti, institusi TVET, mahu pun kemahiran kelayakan mikro yang diperlukan,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata untuk tujuan tersebut, kerajaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial  (Perkeso) menyediakan peruntukan sebanyak RM42 juta bagi Program Bina Kerjaya iaitu program peningkatan kemahiran untuk pekerja tidak formal, termasuk pekerja gig dengan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ke bawah. - BERNAMA

Share this article
Follow