Media & Events

Malaysia teratas bagi median kelajuan muat turun 5G

25 Jul 2023, Harian Metro

Kuala Lumpur: Malaysia muncul di kedudukan teratas dari segi median kelajuan muat turun 5G bagi seluruh pasaran Asia Pasifik setanding dengan penanda aras Eropah pada separuh pertama 2023 menurut Ookla Insights, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching.

Teo yang memetik laporan itu berkata median kelajuan muat turun 5G Malaysia berada pada 512.10 Megabit sesaat (Mbps) mengatasi Korea Selatan yang mencatatkan 503.99 Mbps dan Singapura (387.15 Mbps).

"Betul, kadar penggunaan 5G kita secara relatif masih rendah, saya percaya apabila infrastruktur 5G sudah sedia, ini bermakna kita akan lebih bersedia untuk penggunaan digital yang lebih baik dan berharap kita masih dapat mengekalkan kelajuan itu.

"Kita berada di landasan betul untuk memastikan liputan 5G akan mencapai 80 peratus bagi kawasan berpenduduk menjelang akhir tahun ini. Selain itu, dengan Maxis menandatangani perjanjian langganan dengan Digital Nasional Bhd (DNB), lebih ramai pengguna akan mempunyai akses kepada 5G," katanya kepada pemberita di sini, pada Selasa.

Terdahulu, beliau merasmikan unit binaan dan reka bentuk teknologi Boston Consulting Group (BCG), BCG X di Malaysia dan melancarkan laporan bersama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) mengenai ekosistem digital dengan kerjasama BCG.

Laporan bertemakan Harnessing the Power of Technology: Building a Strong Digital Economy for Malaysia's Future (Memanfaatkan Kuasa Teknologi: Membangunkan Ekonomi Digital yang Kukuh untuk Masa Depan Malaysia) itu meneliti faktor seperti pendirian semasa syarikat tempatan dari segi transformasi digital, pemacu utama perubahan dan cabaran yang perlu ditangani.

Laporan bersama itu didukung oleh dua kerangka hak milik iaitu Indeks Penerimagunaan Digital Perniagaan oleh MDEC dan kerangka Bangun Untuk Masa Depan (BFF) oleh BCG.

Menurut laporan itu, BFF mendapati syarikat Malaysia ketinggalan di belakang firma global dan Asia Tenggara dalam usaha transformasi digital, dengan gabungan syarikat Malaysia yang agak tinggi dalam segmen yang sedang pesat berkembang dan tidak berkembang (39 peratus) berbanding global (13 peratus) dan serantau (17 peratus).

Teo berkata kerjasama penyelidikan dan pelancaran BCG X itu berfungsi sebagai pencapaian penting, mencerahkan lagi laluan untuk Dekad Digital Emas Malaysia.

"Perancangan menyeluruh kita akan menumpukan pengukuhan infrastruktur komunikasi, meningkatkan keselamatan siber dan merangsang pertumbuhan berterusan dalam ekonomi digital," katanya.

Share this article
Follow