Media & Events

MCMC N.Sembilan komited sediakan akses internet menyeluruh, tiada penduduk terkecuali

22 Aug 2023, Astro Awani
JELEBU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Negeri Sembilan komited untuk terus menyediakan liputan telekomunikasi secara menyeluruh terutama di kawasan luar bandar, dengan liputan Internet di negeri ini sudah mencapai 98 peratus.

Pengarahnya Mohd Khairilnaim Osman berkata ia juga selaras dengan usaha kerajaan bagi memastikan semua penduduk tidak terkecuali daripada akses kepada Internet menerusi pelaksanaan Jalinan Digital Negara (JENDELA), sekali gus menjadikan komunikasi sebagai utiliti awam.

"Sekarang dah sampai 98 peratus, dan baki dua peratus akan dibincang dan dirancang menjelang 2024, Insya-Allah dengan solusi tertentu termasuk penggunaan satelit dan penambahan fiber (mampu capai). Mana-mana kawasan yang punyai penduduk kita akan sediakan liputan Internet.

"Semua penduduk bukan sahaja di kawasan bandar malah di pinggir bandar, pedalaman dan sebagainya akan dapat nikmati kemudahan Internet untuk kemudahan awam seperti pendidikan, kesihatan dan sosial," katanya kepada pemberita selepas melakukan audit infrastruktur dan pengukuran kualiti komunikasi bagi JENDELA peringkat negeri di Kampung Orang Asli Baner Tengkoh di sini pada Isnin.

Beliau berkata 93 menara telekomunikasi dipasang di negeri ini dan 25 daripadanya sedang dan akan dibina dengan setiap menara berkenaan mampu mencapai radius sehingga tiga kilometer, sekali gus memastikan setiap penduduk mendapat capaian Internet yang baik.

Merujuk kepada capaian Internet di Kampung Orang Asli Baner Tengkoh, Khairilnaim berkata ia berada dalam tahap terbaik dengan kelajuannya di kawasan itu melebihi 100 Mbps.

Sementara itu, Tok Batin kampung berkenaan Shahrol Bonghot berkata dengan adanya menara telekomunikasi itu, ia memudahkan kegiatan Orang Asli untuk berinteraksi, selain urusan yang memerlukan kepada talian Internet dapat dilakukan dengan lancar, sekali gus memastikan mereka tidak akan terpinggir dari dunia luar.

"Dahulu sebelum ada menara ini, nak hubungi orang lain pun kena keluar daripada rumah sebab tak ada isyarat telefon, sekarang Alhamdulillah, bukan sahaja telefon - Internet pun laju, terima kasih kepada MCMC dan Jabatan Kemajuan Orang Asli yang cakna, termasuk juga kepada syarikat telco," katanya.

-- BERNAMA
Share this article
Follow