Media & Events

MCMC sekat 2.4 bilion panggilan mencurigakan sejak 2018

03 Oct 2023, Kosmo

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyekat sebanyak 2.4 bilion panggilan mencurigakan dalam tempoh hampir lima tahun sejak 2018 hingga 31 Ogos lalu dalam usaha menangani peni­puan.

Anggota Suruhanjaya dan Pengerusi Jawatankuasa Penyalahgunaan Dalam Talian dan Keselamatan Maklumat, Derek Fernandez berkata, hanya dalam tempoh 12 Mei hingga 31 Ogos lalu, sebanyak 17 juta mesej pesanan ringkas (SMS) daripada rakan setara (peer to peer) yang mengandungi pautan hiperlink telah disekat.

Selain itu, kata beliau, sebanyak 237,999 talian termasuk talian mudah alih dan talian tetap yang dikaitkan dengan SMS yang mencurigakan telah ditamatkan dari 2021 hingga 31 Ogos 2023, manakala 581 juta SMS tidak diminta telah disekat dari 2021 hingga 31 Ogos 2023.

“Realitinya, masalah sebenar mungkin tujuh kali ganda lebih besar daripada angka ini, kerana kebanyakan orang tidak membuat laporan mengenainya.

“Trend dunia hari ini ialah jenayah tradisional semakin berkurangan manakala jenayah digital semakin meningkat,” katanya pada sidang akhbar sempena pelancaran semula kempen kesedaran #JanganKenaScam, di sini semalam.

Fernandez menjelaskan, penjenayah semakin sedar bahawa banyak wang mampu dicuri menerusi penipuan secara digital, yang mampu dilakukan daripada keselesaan ruang peribadi, jauh daripada jangkauan pihak berkuasa dengan memanfaatkan teknologi.

“Semua ini berdasarkan prinsip utama, iaitu penjenayah digital mampu kekal tidak dikenali (anonymous).

“MCMC bergerak secara proaktif dengan menggunakan seksyen lebih ketat, yang antara lain memerlukan penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan penyedia perkhidmatan internet mengambil langkah terbaik bagi melin­dungi rangkaian mereka daripada digunakan untuk melakukan aktiviti jenayah.

“Malah pada saat ini, banyak bengkel sedang dijalankan berhubung hal ini dan kami menjangkakan tindakan lebih proaktif daripada penyedia perkhidmatan,” katanya. -KOSMO!ONLINE

Share this article
Follow