Media & Events

Menara telekomunikasi diceroboh, penduduk Kampung Sungkup Kedah hadapi masalah liputan

17 Oct 2023, Kosmo
PUTRAJAYA – Kira-kira 600 penduduk menghadapi masalah liputan telekomunikasi selepas menara telekomunikasi di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) di Kampung Sungkup, Kedah diceroboh pada Ahad lalu.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dalam kenyataan berkata, masalah tersebut telah dilaporkan oleh penduduk kampung kepada pejabat MCMC Kedah apabila mendapati terdapat kesan vandalisme termasuk kabel dipotong dan peralatan dicuri.

Katanya, pejabat MCMC Kedah pada hari sama telah ke lokasi kejadian untuk membuat tinjauan bersama pihak penyedia perkhidmatan yang dilantik menguruskan menara berkenaan.

“Laporan polis turut dibuat oleh pihak penyedia perkhidmatan. MCMC ketika ini sedang mempertimbangkan beberapa langkah untuk memulihkan kembali perkhidmatan telekomunikasi di sekitar Kampung Sungkup,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, menara telekomunikasi tersebut menyediakan perkhidmatan telekomunikasi Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile melalui kaedah perkongsian 4G MOCN (Rangkaian Teras Operator Berbilang).

“Perbuatan khianat yang dilakukan itu menyebabkan perkhidmatan kesemua rangkaian tersebut tidak dapat beroperasi,” ujarnya.

MCMC meminta orang awam untuk segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya mempunyai sebarang maklumat atau melihat sebarang aktiviti mencurigakan berhampiran tapak infrastruktur telekomunikasi.

“Perbuatan merosakkan kemudahan telekomunikasi boleh didakwa dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda RM300,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya di bawah Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

MCMC pada masa sama akan turut meningkatkan kerjasama dengan penduduk, pihak polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mencegah sebarang cubaan menceroboh menara telekomunikasi. – KOSMO! ONLINE

Share this article
Follow