Media & Events

PEDi bantu usahawan Felda Soeharto kembang perniagaan

15 Nov 2023, UtusanTV
KETIKA memulakan perniagaan jualan bunga dan hadiah sekitar tujuh tahun lalu, Siti Aisyah Mat Zin, 40 hanya mampu meraih kira-kira RM150 sebulan.

Namun begitu, berkat usaha dan tunjuk ajar menerusi program keusahawanan yang disediakan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Felda Soeharto, ibu kepada enam cahaya mata itu berjaya mengembangkan perniagaan sehingga mencecah RM2,500 sebulan.

Pemilik Mama Ecah Surprise Delivery Florist Gift itu memaklumkan, program yang disediakan di PEDi itu amat membantu terutama dalam menguasai pasaran e-dagang dan memberi pemahaman tentang ekonomi digital.

Bukan itu sahaja, ikon usahawan PEDi Felda Soeharto itu berkata, segala tunjuk ajar yang disediakan itu juga telah berjaya membina keyakinan mengembangkan lagi perniagaannya. 

Siti Aisyah memaklumkan, perkhidmatan yang ditawarkan di PEDi itu juga memudahkan usahawan di luar bandar meneroka peluang perniagaan lebih besar.

"Pada asalnya saya menjual kain pasang tetapi disebabkan saingan yang sengit, saya memulakan perniagaan gubahan bunga dan hadiah ini.

"Namun, pada awal perniagaan, hasilnya tidak memberangsangkan apatah lagi saya tinggal di luar bandar dan tidak tahu caea untuk memasarkan produk dengan berkesan.

"Setelah menyertai latihan dan program keusahawanan, ia memberi kesan besar untuk saya yang memang tiada pengetahuan dengan ekonomi digital.

"Malah, program yang disediakan pun tidak mengenakan sebarang bayaran,"katanya ketika ditemui di PEDi Felda Soeharto, hari ini.

Mengulas lanjut, anak jati Felda Soeharto itu turut menyimpan impian untuk mengembangkan lagi perniagaan dengan memiliki sebuah kedai menjual gubahan hadiah dalam tempoh dua ke tiga tahun lagi.

Pada masa sama, beliau juga berhasrat membawa bersama produk-produk dihasilkan usahawan Felda itu sebagai bahan gubahan.

“Saya juga ingin menyumbang semula kepada komuniti dengan membuka kelas kepada usahawan lain,” katanya.

Selain program keusahawanan, PEDi turut menyediakan pelbagai perkhidmatan lain termasuk sesi pengajaran dan pembelajaran kepada pelajar sekolah; perkhidmatan fotostat; kurier dan pusat komuniti setempat.

Dalam Belanjawan 2024 yang dibentangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bulan lalu, sebanyak RM25 juta diperuntukkan bagi memperkasa peranan PEDi untuk membantu masyarakat setempat.

Sebanyak 27,963 usahawan aktif PEDi direkodkan di seluruh negara sehingga Jun lalu menerusi pelbagai program keusahawanan yang dilaksanakan.

Bagi mengiktiraf peranan penting PEDi dalam komuniti, Persidangan PEDi MADANI akan diadakan pada 29 November ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Persidangan yang julung kali diadakan itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri memberi pengiktirafan kepada PEDi sejak penubuhannya pada tahun 2007.

Persidangan PEDi MADANI turut menghimpunkan barisan pengurus dan usahawan daripada seluruh pelosok negara.

“Jumlah memang sangat ketara kerana kini saya dah berjaya membuka cawangan kedua di Putrajaya.

“Saya sarankan usahawan yang baru menceburi bidang perniagaan untuk mendapatkan tunjuk ajar di PEDi kerana program yang ditawarkan sangat membantu apatah lagi ia adalah percuma,” katanya.

Share this article
Follow