Media & Events

"PERKENALAN" DENGAN PEDi BERJAYA KEMBANGKAN PERNIAGAAN USAHAWAN DESA

17 Jul 2023, Bernama
KUALA TERENGGANU, 17 Julai (Bernama) - Dua usahawan desa yang sebelum ini hanya berniaga secara kecil-kecilan di rumah, tidak menyangka "perkenalan" singkat dengan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) berjaya mengembangkan produk mereka sehingga mendapat tempat di pasar raya dan menembusi pasaran luar negara.

Siti Juriah Mohammad berkata sebelum ini, beliau ke PEDi Kampung Binjai Bongkok di Marang untuk menemani anak-anaknya membuat kerja sekolah yang memerlukan capaian internet.

"Dahulu Kak Yah ke PEDi sebab anak-anak nak buat kerja sekolah saja... Sehinggalah suatu hari, Kak Yah nak dapatkan sijil halal untuk produk, Kak Yah ada komputer, tapi tak tahu nak buat macam mana.

"Ketika itu 2018, Kak Yah pun pergi ke PEDi dan tak sangka petugas-petugas di PEDi boleh bantu Kak Yah dari segi proses dan dokumentasi sampailah Kak Yah dapat perakuan halal itu,"katanya yang mesra disapa Kak Yah, kepada Bernama.

Siti Juriah berkata beliau mengusahakan produk makanan tradisional sejuk beku seperti ketupat, pulut panggang serta kuih-muih sejak lebih 20 tahun lepas dan perniagaannya lebih berkembang selepas "berkenalan" dengan PEDi.

"Kak Yah dapat latihan keusahawanan di PEDi, petugasnya banyak ajar cara sunting video dan gambar produk bagi nampak cantik dan dimuatnaik ke Facebook dan TikTok. Dari situ, produk Kak Yah terus dikenali dan sekarang dah dijual di banyak pasar raya di negeri ini,"katanya yang turut menzahirkan penghargaan kepada semua petugas di PEDi.

Turut berkongsi kisah kejayaan bersama pusat berkenaan, Nur Arinah Mat Yusof yang mengusahakan produk makanan kesihatan berjaya menembusi pasaran Brunei dan Singapura selepas aktif menggunakan platform e-dagang dengan bantuan PEDi.

"Saya memang mencari sokongan untuk mengembangkan perniagaan dan rakan beritahu saya tentang PEDi.Awalnya saya ingat PEDi ini tempat budak-budak buat kerja sekolah, nak menfotostat buku atau apa sahaja.

"Semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya mula mendapatkan bantuan untuk perniagaan saya di PEDi Alur Limbat di Marang. Sebelum itu, saya hanya jual dalam lingkungan kenalan, tapi kini saya bersyukur kerana perniagaan sudah berkembang terutama menerusi platform e-dagang dengan bantuan PEDi,"katanya yang mengeluarkan produk Protein Bar Homemade.

Menurut Nur Arinah, inisiatif kerajaan melalui PEDi sangat membantu golongan usahawan kecil sepertinya dan peluang itu seharusnya dimanfaatkan secara optimum jika mahu lebih berjaya dalam perniagaan.

Katanya lagi, PEDi juga membantunya untuk memperkasakan perusahaan dengan memberi bimbingan tentang proses mendapatkan perakuan sijil halal yang telah memberikan nilai tambah kepada produk keluarannya.

Sementara itu, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Terengganu Zahari Ismail berkata terdapat 66 PEDi di seluruh negeri ini, dan pihaknya merancang untuk membuka enam lagi pusat itu menjelang hujung tahun ini.

"Sejumlah 97,755 pengunjung direkodkan menggunakan perkhidmatan PEDi di negeri ini dan sebanyak 50,172 orang telah mendaftar sebagai ahli PEDi.

"Setakat suku pertama 2023, sebanyak 2,074 usahawan PEDi aktif telah direkodkan yang mendaftar melalui PEDi di seluruh negeri ini dan 1,845 orang daripada jumlah itu menjalankan perniagaan sekurang-kurangnya melalui satu platform dalam talian seperti media sosial, laman sesawang atau marketplace,"katanya.

Beliau berkata setakat ini, pihaknya berpuas hati dengan pencapaian yang direkodkan oleh usahawan PEDi yang berjaya meningkatkan produktiviti dan menjana keuntungan di samping mengekalkan perniagaan serta meningkatkan peluang pekerjaan.
Share this article
Follow