Media & Events

Pusat Sebaran Maklumat Nasional nama baharu Pusat Ekonomi Digital mulai 1 Mac

26 Feb 2024, Berita Harian
BARCELONA: Pusat Ekonomi Digital (PEDi) akan dikenali sebagai Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) berkuat kuasa 1 Mac, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil. 

 Beliau berkata, seiring nama baharu berkenaan, peranan kesemua 911 pusat Nadi atau PEDi sebelum ini di seluruh negara, termasuk 186 lagi yang akan diwujudkan sepanjang tahun ini, akan diperluas.

"Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan membuat hebahan, termasuk menghubungi pengurus NADI seluruh negara, untuk pastikan beberapa aspek penjenamaan dilakukan dengan tertib dan baik.

"Lebih daripada penjenamaan atau menamakan semula PEDi kepada NADI, ada beberapa aktiviti yang akan direncanakan semula. Contohnya, kita akan tingkatkan pemahaman di peringkat komuniti mengenai program dan inisiatif kerajaan seperti AI untuk rakyat, selain menjaikan Nadi, pusat sebaran maklumat mengenai program, aktiviti, bantuan, usaha serta senarai bantuan kerajaan,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama dan RTM, ketika ditemui selepas meninjau persiapan Pavilion Malaysia di Kongres Dunia Mudah Alih 2024 (MWC2024) di sini, hari ini (Isnin waktu Malaysia) yang turut dihadiri Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Fahmi berada di Barcelona bagi mengetuai delegasi Malaysia ke MWC2024 dan dijadual menyampaikan ucap tama bagi merasmikan Pavilion Malaysia di Kongres itu, yang juga perhhimpunan tahunan terbesar industri komunikasi anjuran badan antarabangsa Groupe Speciale Mobile Association.

Fahmi berkata, perencanaan semula PEDi kepada NADI termasuk tugas, tanggungjawab, aktiviti serta programnya itu adalah hasil kaji selidik sepanjang tahun lalu, di mana antara dapatannya menunjukkan komuniti yang mengetahui dan hadir di PEDi sebelum ini, hanya mereka pada lingkungan dua ke tiga kilometer sahaja. 

Beliau berkata, ia juga selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu PEDi dirangka semula, bagi megimbangi penambahan elaun diberikan kepada pengurus PEDi seperti diumum 29 November lalu.

"Jadi, kita ambil hasrat Perdana Menteri, kita selaraskan berdasarkan hasil kaji selidik sepanjang 2023 untuk kita pastikan manfaat PEDi ini, dapat dirasai bukan hanya komuniti sekitar premis. Pihak MCMC dan kerajaan membelanjakan jumlah yang besar, jadi kita ingin lihat jumlah ini dimanfaatkan bukan hanya satu kampung atau satu taman, tetapi lebih luas,"katanya.

Ke arah tujuan yang sama, beliau berkata, bagi meluaskan manfaat NADI termasuk kepada golongan muda, fungsinya juga akan diteliti untuk turut merangkumi aktiviti dan program di luar premis.

Fahmi berkata, pihak kementerian turut sedia membantu antara lain Kementerian Pendidikan, dalam meningkatkan tahap celik digital dalam kalangan rakyat, terutama masalah penipuan dalam talian serta manfaat dan bahaya media sosial.

"Ini kita akan lakukan melalui MCMC, NADI dan sejumlah platform media sosial dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan program itu akan direncana dan diumum kemudian. Saya lihat ini satu cara untuk kita bawa pusat sebaran maklumat dalam komuniti," katanya.

Sementara itu, Mohamad Salim berkata, MCMC mengambil peluang untuk membawakan NADI di Pavilion Malaysia, sebagai contoh kepada dunia bagaimana program itu membantu memupuk dan memperkasakan rakyat Malaysia, khususnya di luar bandar, dalam meningkatkan kadar celik digital dan menambah baik status sosioekonomi mereka melalui keusahawanan, terutamanya sebagai usahawan dalam talian.

"Kami mahu mempamerkan NADI untuk membolehkan orang ramai dalam industri mengetahui fungsinya. Fungsi NADI iaitu kami menyediakan peluang kepada setiap individu luar bandar, separa luar bandar atau bandar, menjalankan perniagaan mereka dalam talian dan menjangkau ke bahagian lain di dunia.

-- BERNAMA


 
Share this article
Follow