Media & Events

Starlink manfaatkan masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Tonggang

19 Sep 2023, Suara Sarawak

IPOH: Meskipun tinggal di kawasan pedalaman, penduduk Orang Asli Kampung Sungai Tonggang di sini tidak ketinggalan daripada kepesatan teknologi dan menikmati kemudahan capaian Internet di kawasan penempatan mereka.

Tok Batin Kampung Sungai Tonggang Che Wan Alang berkata capaian Internet adalah sesuatu yang dinanti-nantikan oleh penduduk memandangkan mereka tinggal di kawasan terpencil di atas bukit.

Menurut Che Wan satu unit peranti satelit Starlink sudah dipasang pada 28 Ogos lepas dan beliau bersyukur dengan kemudahan yang diberikan kerajaan itu bagi menaik taraf kehidupan Orang Asli suku Temiar. 

“Kampung ini yang wujud sejak 1973 memang tidak ada capaian Internet selain talian telefon yang lemah, jadi sebagai alternatif penyelesaian masalah itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memasang sebuah peranti Starlink di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Tonggang bagi memastikan kemudahan Internet diperoleh penduduk.

“Sejak pemasangan Starlink, saya lihat penduduk khususnya anak muda berkumpul di dewan melayari Internet dan kami berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi peluang untuk kami menikmati kemudahan Internet seperti penduduk di bandar,” katanya yang ditemui hari ini.

Che Wan berkata walaupun Starlink sudah dipasang, pihaknya akan terus memperjuangkan agar menara telekomunikasi dibina di kampung itu bagi meluaskan akses Internet.

“Pihak MCMC baru-baru ini ada membuat lawatan ke lokasi yang telah dirancang untuk mendirikan menara (telekomunikasi), kami penduduk akan setia menunggu agar generasi kami tidak ketinggalan dalam arus pemodenan,” katanya. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika lawatan pada 24 Ogos lepas mengumumkan pemasangan Starlink di perkampungan Orang Asli berkenaan yang dihuni 435 penduduk daripada 137 keluarga.

Menurut Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun, perkhidmatan capaian Internet itu akan dilaksanakan menerusi projek Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) sebagai usaha membantu rakyat mendapatkan kemudahan jaringan Internet yang baik.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dalam hantarannya menerusi Facebook pada 29 Ogos lepas menyatakan kementeriannya melalui MCMC telah memasang satu unit Starlink di kampung itu sebaik arahan pemasangan diumumkan Anwar.

Seorang penduduk, Rubylawatie Mat Ngingan, 28, berkata dengan adanya kemudahan Internet, segala kecemasan yang berlaku dapat ditangani segera seperti menghubungi pihak hospital, bomba atau polis.

“Setidak-tidaknya kini sudah ada panggilan melalui aplikasi WhatsApp, Telegram dan lain-lain aplikasi yang membolehkan kami berhubung jika berlaku kecemasan di kampung kami. 

“Kami juga boleh berhubung melalui panggilan video atas talian, jika dahulu aplikasi WhatsApp pun bila turun ke bawah (kawasan mempunyai liputan Internet) keesokan harinya barulah dapat mesej baharu, jadi memang agak sukar,” katanya. 

Adik Rubylawatie, Mohd Ikmal, 23, pula berkata sebelum ini dia perlu pergi ke kawasan lebih tinggi bagi mendapatkan isyarat telefon di kampungnya. 

“Saya perlu naik ke lereng bukit sekitar 10 minit perjalanan menaiki motosikal, barulah ada isyarat telefon yang berkapasiti tinggi untuk melayari YouTube ataupun apa jua pengstriman video. 

“Bila ada Starlink ni mudahlah sedikit kami nak akses Internet dan murid sekolah pun boleh belajar secara dalam talian serta berada setempat tanpa perlu keluar untuk mendapatkan maklumat,” katanya. – BERNAMA

Share this article
Follow