Media & Events

Struktur menara komunikasi rosak akibat vandalisme - MCMC

08 Sep 2023, Berita Harian
KUALA LUMPUR: Sebuah menara komunikasi di Kampung Rambai Sebunga di Pekan, Pahang rosak teruk akibat vandalisme menyebabkan gangguan perkhidmatan telekomunikasi di kawasan itu serta lokasi berhampiran.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan, kejadian vandalisme itu yang kedua dilaporkan kepada pihaknya dalam tempoh kurang sebulan di daerah sama.

Katanya, tinjauan MCMC mendapati peralatan elektronik di menara itu mengalami kerosakan teruk dengan semua peralatan tidak boleh digunakan dan perlu diganti baharu.

"Kejadian itu memberi kesan kepada perkhidmatan telekomunikasi yang disediakan oleh Celcom, Digi, dan Maxis.

"Gangguan perkhidmatan turut membabitkan dua lagi menara CelcomDigi yang dirangkaikan melalui menara ini yang terletak di Kampung Belimbing dan Tasek Chini di Pekan," katanya.

Tambah kenyataan itu, untuk perkhidmatan U Mobile, ia berjaya dibaik pulih secara interim semalam.

 

"Sebagai langkah penyelesaian sementara, usaha kini giat dijalankan CelcomDigi untuk mengaktifkan menara-menara ini secara berperingkat.

"Bermula dengan menara di Tasek Chini yang dijangka mula beroperasi semula esok, diikuti menara lain beberapa hari selepas itu," katanya.

Kata kenyataan itu, kerja baik pulih sepenuhnya dijangka selesai selewat-lewatnya Rabu ini.

Dalam pada itu, MCMC menyarankan orang awam memainkan peranan melaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya ternampak sebarang aktiviti mencurigakan di menara komunikasi.

"MCMC akan turut meningkatkan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk memantau keselamatan struktur menara komunikasi di lokasi masing-masing," katanya.

Share this article
Follow