Media & Events

TikTok setuju pantau, ambil tindakan kandungan sensitif – Fahmi

28 Aug 2023, Utusan

PETALING JAYA: Aplikasi TikTok bersetuju untuk memberi komitmen penuh memantau dan mengambil tindakan terhadap kandungan media sosial yang sensitif dengan lebih efisien selaras dengan Garis Panduan Komuniti platform itu sendiri.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, persetujuan itu dicapai dalam perbincangan bersama wakil TikTok hari ini.

Katanya, mesyuarat itu turut dihadiri Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf; Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Datuk Manoj Kurup dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Tan Sri Salim Fateh Din.

KKD dan kerajaan mempertahan hak rakyat Malaysia untuk bebas bersuara. Bagaimanapun, kandungan media sosial yang melanggar undang-undang Malaysia tidak boleh dibenarkan, termasuk yang menyentuh isu 3R (agama, raja dan kaum) atau mengancam ketenteraman dan keselamatan awam.

Melalui perbincangan itu, TikTok setuju untuk beri komitmen penuh memantau dan mengambil tindakan terhadap kandungan sedemikian dengan lebih efisien, selaras dengan Garis Panduan Komuniti Tiktok itu sendiri,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Fahmi menambah, beliau turut membangkitkan isu perbelanjaan pengiklanan yang kini dikaut oleh syarikat gergasi teknologi antarabangsa dalam perbincangan berkenaan.

“Saya akan bantu memastikan industri media kekal mapan, termasuk dengan merancakkan perbincangan di antara kerajaan, industri media dan platform media sosial,” katanya. 

Share this article
Follow