Media & Events

Usahawan kuih penderam raih pendapatan lebih RM5,000 sebulan

17 May 2022, Berita Harian
Beaufort: Berkat kegigihan mempelajari cara menggunakan aplikasi e-dagang dengan bimbingan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi), usahawan kuih penderam, Faridah @ Robia Kimboi, 60, hari ini mampu meraih pendapatan sehingga melebihi RM5,000 sebulan.Faridah, anak jati Tambunan memulakan perniagaan menjual kuih penderam atau dikenali sebagai pandaram, di sini, memulakan perniagaan pada tahun 2017 selain turut menjual pelbagai jenis kerepek.

Katanya, pada mulanya beliau hanya belajar membuat kuih secara suka-suka sahaja bagi mengisi masa lapang sehinggalah suatu hari memutuskan untuk menjual kuih penderam secara sepenuh masa. “Sebelum ini, saya menjual kuih penderam dari rumah dan meletakkannya di premis perniagaan seperti kedai dan juga stesen minyak Petronas di samping turut menerima tempahan secara terus. “Pada tahun 2018, saya mendaftar menjadi ahli PEDi Kampung Kabidang dan belajar menggunakan teknologi seperti komputer dan telefon pintar untuk perniagaan. Pada tahun lepas pula saya menyertai Program Mekar Pembangunan e-Dagang Shopee yang mana usahawan belajar menggunakan aplikasi Shopee untuk menjual produk mereka selama tiga bulan.

“Staf PEDi banyak membantu saya dalam usaha mempelajari aplikasi terbabit kerana saya agak perlahan dalam perkara berkaitan teknologi. Setelah saya menggunakan aplikasi Shopee, sambutan daripada pelanggan sangat menggalakkan. Saya menerima dua hingga tiga tempahan setiap hari malah pernah juga saya menerima lima tempahan,” katanya. Ibu kepada lima anak itu berkata, produknya dikenali dengan nama jenama Al-Qawiy dan dijual di dalam bekas pada harga RM6.50 satu dan mengandungi sebanyak 30 biji kuih penderam.

Selain menjual produk di Shopee, beliau juga giat menjual produk kuih penderam menerusi laman media sosial seperti Facebook dan juga WhatsApp. Faridah bersyukur dengan penjualan produk penderam di aplikasi e-dagang, pelanggan yang membeli produknya semakin meluas diluar daerah Beaufort sehingga ke negara Brunei dan juga Labuan. Dalam pada itu, beliau turut menyarankan rakan usahawan lain khususnya warga emas untuk memanfaatkan teknologi dalam usaha mempromosikan produk jualan mereka.

“Sebagai seorang usahawan, kita harus lebih kreatif dan memanfaatkan teknologi untuk memasarkan produk jualan kita. Pada zaman kini, bantuan daripada kerajaan seperti kursus untuk usahawan misalnya, amat banyak dan semuanya lebih mudah dengan menggunakan teknologi terkini. Ini tidak sama seperti zaman usahawan zaman dahulu yang harus bergerak sendiri untuk memasarkan dan menjual produk. Semuanya bermula dari kosong,”
katanya.
Share this article
Follow