Media & Events

Wanita didenda RM14,000 jual walkie talkie

06 Feb 2018

 

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini memerintahkan seorang wanita didenda RM14,000 selepas mengaku bersalah menjual walkie talkie yang tidak mempunyai perakuan sah keselamatan SIRIM QAS International Sdn Bhd, 

Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid turut memerintahkan Wee Lee Boon, 35, selaku Orang Kena Saman (OKS) dikenakan penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda terbabit.

Berdasarkan pertuduhan pertama, OKS didakwa menjual kelengkapan komunikasi iaitu empat unit walkie talkie jenama Bellsouth model T-388 bernilai RM360 atas nama Syarikat B Plus Trading melalui pautan http://www.mudah.my/perniagaan-siang-li kepada pelanggan yang membuat pembayaran melalui perkhidmatan perbankan atas talian Maybank2u.com.

Bagi pertuduhan kedua, Lee Boon didakwa menjual dua unit walkie talkie jenama TYT Model UVF8D bernilai RM480 atas nama syarikat, pautan serta perkhidmatan pembayaran yang sama oleh pelanggannya.

Dua kesalahan itu dilakukan di SIRIM QAS International Sdn Bhd, Persiaran Dato' Menteri Seksyen 2, di sini, pada pada 10 September 2013 jam 6.44 petang.

Sabit kesalahan, dia boleh dikenakan penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM100,000 bagi dua pertuduhan itu mengikut Peraturan 16 (1) (b) Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang dibaca bersama Peraturan 16 (3) Peraturan-Peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Peraturan 37 Peraturan-Peraturan yang sama.

Terdahulu, Lee Boon yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dikenakan kepadanya berikutan perlu menanggung dua anak yang masih bersekolah dan ibu mentua yang mempunyai penyakit kencing manis.

"Kami sekeluarga juga bergantung pada pendapatan suami yang menjalankan perniagaan membaiki motosikal selain tidak mengetahui bahawa semua peralatan itu dikawal selia dengan ketat dan salah di sisi undang-undang," katanya.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Norhani Mohd Adzhar meminta hukuman setimpal dikenakan memandangkan kesalahan terbabit adalah serius.

Share this article
Follow