Media & Events

Malaysia Beralih Kepada Siaran TV Digital Secara Sepenuhnya Pada 31 Oktober 2019

24 Sep 2019
MALAYSIA BERALIH KEPADA SIARAN TV DIGITAL SECARA SEPENUHNYA PADA 31 OKTOBER 2019
 
  • Malaysia akan beralih kepada siaran TV Digital myFreeview secara sepenuhnya pada 31 Oktober ini
  • Peralihan kepada siaran TV Digital myFreeview ini dilaksanakan secara berperingkat mengikut wilayah
 
CYBERJAYA, 24 September 2019 --- Malaysia akan beralih kepada siaran TV Digital myFreeview secara sepenuhnya daripada siaran TV percuma menggunakan teknologi lama (Analog) pada 31 Oktober 2019 ini sekaligus menandakan satu era baharu dalam industri penyiaran negara.
Berikut adalah tarikh-tarikh peralihan siaran TV Analog ke TV Digital myFreeview mengikut wilayah:
 
WILAYAH TARIKH PERALIHAN
Tengah dan Selatan 30 September 2019
Utara dan Timur 14 Oktober 2019
Sabah dan Sarawak 31 Oktober 2019
 
Peralihan daripada siaran TV Analog ke siaran TV Digital myFreeview di seluruh negara adalah berikutan hasil kejayaan ujian rintis yang telah dijalankan di Pulau Langkawi oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama pihak industri penyiaran sejak 21 Julai 2019 lalu.

Perkhidmatan siaran TV Digital myFreeview adalah antara usaha Kerajaan untuk merapatkan jurang digital merangkumi penduduk di kawasan bandar, pinggir bandar dan luar bandar. Ia juga sejajar dengan wawasan Kemakmuran Bersama kerajaan yang membolehkan rakyat menikmati perkhidmatan TV Digital secara percuma yang juga berkualiti, tanpa langganan bulanan.
 
Dengan adanya siaran TV Digital myFreeview, ia turut memberi pilihan kepada rakyat untuk menonton pelbagai saluran TV, radio dan aplikasi baharu seperti membeli-belah dalam talian, informasi semasa, pendidikan interaktif dan rancangan-rancangan yang lain.
 
Kewujudan aplikasi-aplikasi umpamanya membeli-belah dalam talian yang menjadi trend masa kini memberi kesempatan kepada rakyat untuk menambah sumber pendapatan mereka menggunakan platform TV Digital myFreeview.
 
Setakat ini, sebanyak 15 saluran TV dan enam (6) saluran radio boleh didapati pada platform TV Digital myFreeview yang disediakan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM), Media Prima, TV AlHijrah, dan Bernama News Channel (BNC). Dijangkakan terdapat beberapa lagi saluran TV baharu bakal disiarkan di platform TV Digital myFreeview dalam tempoh terdekat.
 
Bagi mereka yang masih belum beralih kepada platform siaran TV Digital myFreeview, anda adalah digalakkan untuk berbuat demikian dengan mengikuti langkah-langkah yang berikut:
 
  1. Dapatkan dekoder dan aerial Ultra High Frequency (UHF) dan memasang kepada set TV yang sedia ada; atau
  2. Dapatkan Integrated Digital TV (IDTV) yang telah dilengkapi dengan dekoder dan memasang kepada aerial UHF.
 
Sebarang maklumat lanjut, boleh layari laman sesawang www.myFreeview.tv atau hubungi talian 1-800-181-088.

PDF
Share this article
Follow