Media & Events

700,000 Penduduk Luar Bandar Dapat Manfaat Akses ICT Daripada PI1M Sejak 2007

12 Sep 2013, Bernama
CYBERJAYA, 12 Sept (Bernama) -- Kira-kira 700,000 penduduk luar bandar seluruh negara mendapat manfaat kemudahan akses teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menerusi penubuhan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) sejak 2007.

Ketua Bahagian Pembangunan Luar Bandar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Uzer Tajudin berkata setakat ini 359 PI1M sudah beroperasi.

Pada awal penubuhan pusat internet itu ia hanya dikenali sebagai Pusat Jalurlebar Komuniti (PJK) namun diberi penjenamaan semula pada tahun lepas dengan panggilan PI1M.

Bercakap kepada media di ibu pejabat SKMM di sini Khamis Uzer berkata pihaknya sedang membina 95 pusat seumpama itu lagi di seluruh negara.

Katanya, pihaknya menyasarkan penubuhan 500 PI1M di kawasan luar bandar hingga hujung tahun ini.

Beliau berkata PI1M dapat membantu penduduk luar bandar meningkatkan taraf sosial dan ekonomi di samping berpeluang menikmati faedah internet seperti yang dirasai komuniti bandar sekali gus merapatkan jurang digital antara penduduk luar bandar dengan bandar.

"Pusat internet ini juga boleh digunakan untuk penduduk kampung memasarkan produk perniagaan mereka yang dapat menjana pendapatan. Contohnya di Kunak, Sabah, seorang pengusaha rumpai laut pernah memperoleh pendapatan mencecah RM20,000 sebulan selepas memasarkan rumpai lautnya dalam internet di PI1M," katanya.

Uzer berkata PI1M mempunyai peralatan teknologi maklumat (IT) dengan penyambungan internet yang menyediakan latihan dan penggunaan komputer kepada penduduk luar bandar.

Beliau berkata kini pihaknya memberi fokus kepada pembangunan kandungan dan aplikasi ICT yang perlu ditambahbaik dari semasa ke semasa dengan meningkatkan prasarana PI1M.

Dalam pada itu, Uzer berkata pihaknya berhasrat menubuhkan 100 PI1M dalam tempoh dua tahun di kawasan bandar bagi memenuhi keperluan golongan kurang berkemampuan.

Katanya bagi tujuan itu pihaknya memulakan fasa perintis pertama PI1M di kawasan bandar iaitu di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Pantai di sini yang telah siap pada Mac lepas dan mempunyai kemudahan keyboard braille untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) buta.
Share this article
Follow