Media & Events

754,446 komputer 1Malaysia diagih di Sabah hingga September

30 Nov 2012, Utusan Malaysia

KOTA KINABALU 29 Nov. - Usaha kerajaan mendidik rakyat menguasai teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menerusi bantuan Netbook 1Malaysia yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dilihat berjalan lancar di negeri ini.

Pengarah SKMM Wilayah Sabah dan Labuan, K. Juslly Elis berkata, sehingga September lalu, sebanyak 754,446 unit komputer riba 1Malaysia diagihkan kepada kumpulan sasaran di seluruh daerah di Sabah.

Katanya, bantuan komputer riba itu diberikan secara percuma kepada kumpulan sasar iaitu keluarga yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan bagi kawasan luar bandar, manakala pendapatan di bawah RM5,000 bagi kawasan bandar, berdasarkan nisbah yang telah ditetapkan.

"Selari dengan kemajuan dunia tanpa sempadan dan meningkatkan tahap penggunaan teknologi maklumat di negeri ini, sebanyak 754,446 unit komputer riba 1Malaysia telah diagihkan kepada kumpulan sasar," katanya selepas merasmikan Ekspo Teknologi dan Usahawan Asia (Texpo) di sini semalam.

Menurut Juslly, pemberian komputer riba 1Malaysia tersebut adalah secara percuma dan berharap tidak ada pihak yang cuba menyeleweng bantuan tersebut dengan mengenakan bayaran kepada penerima.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai tampil membuat aduan jika perkara tersebut berlaku kerana tidak mahu bantuan yang diberikan oleh kerajaan itu disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Jelasnya, orang ramai yang mempunyai bukti tentang penjualan komputer riba 1Malaysia oleh agensi kerajaan dinasihatkan agar membuat laporan rasmi di mana-mana pejabat SKMM berhampiran.

Share this article
Follow