Media & Events

CFM Perkenal Logo Dan Maskot Baharu, Transformasi Lindungi Hak Pengguna

31 Jul 2015, bernama
KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia (CFM), sebuah badan organisasi bebas telah memperkenalkan logo dan maskot baharu yang merupakan sebahagian daripada transformasi mereka dalam melindungi hak-hak pengguna industri dengan lebih berkesan.

Pengerusinya Dr Elistina Abu Bakar dalam satu kenyataan berkata, logo dan maskot itu telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari pada majlis rumah terbuka Aidiltfiri CFM, Khamis.

Jailani dalam ucapan perasmiannya berkata, pengenalan logo dan maskot itu dipercayai dapat memperkukuhkan lagi matlamat CFM sebagai sebuah forum yang dapat memastikan pembangunan dinamik dan kawal selia perkhidmatan komunikasi dan multimedia yang lebih adil serta dapat memberi manfaat kepada para pengguna dan negara.

Menurut Dr Elistina, logo baharu yang direka bentuk dan dihasilkan dengan unsur-unsur penyatuan itu mempunyai struktur bulatan organik yang mewakili organisasi, mempunyai kaitan dengan institusi kerajaan, industri dan pengguna dalam sektor komunikasi dan multimedia.

"Ia terdiri daripada empat warna iaitu amber (kuning jingga), magenta, cyan dan putih yang mempunyai makna berbeza bagi setiap satu," katanya.

Selain itu, maskot baharu yang diperkenalkan pula diinspirasikan daripada haiwan mamalia iaitu gajah yang dilihat mempunyai kekuatan mudah mesra.

CFM ditubuhkan pada Februari 2001 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selaras dengan keperluan Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 untuk melindungi hak pengguna dalam sektor tersebut dan memudahkan kawal selia kendiri industri.
Share this article
Follow