Media & Events

Dropped calls tak boleh diselesaikan - SKMM

13 Feb 2013, Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 12 Feb. - Masalah talian mudah alih terputus secara tiba-tiba (dropped calls) tidak dapat diselesaikan sepenuhnya kerana gangguan itu adalah sifat semula jadi perkhidmatan telekomunikasi selular.

Jurucakap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berkata, bagaimanapun masalah itu boleh dikurangkan melalui pemantauan ketat berdasarkan lokasi ujian yang dibuat suruhanjaya tersebut.

"Tidak ada sebuah negara di dunia yang mampu menangani masalah ini, cuma apa yang boleh dilakukan hanya mengurangkan sahaja.

"Atas sebab itu di kebanyakan negara lain, masalah ini mencapai antara dua hingga 10 peratus," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas desakan orang ramai yang mahu tindakan tegas diambil terhadap penyedia perkhidmatan telekomunikasi bagi menangani masalah panggilan terputus secara tiba-tiba yang kerap berlaku sejak kebelakangan ini.

Menurut jurucakap itu, di Malaysia, SKMM mempunyai standard mandatori bagi menangani masalah tersebut iaitu sehingga lima peratus.

Jelas beliau, pada dasarnya masalah panggilan terputus secara tiba-tiba di Malaysia bukan sesuatu yang serius kerana hanya kerap berlaku semasa musim perayaan.

Katanya, gangguan itu berlaku disebabkan jumlah panggilan atau penggunaan perkhidmatan selular meningkat berkali ganda berbanding hari biasa.

Menurut jurucakap itu lagi, bagi menangani masalah tersebut SKMM akan memastikan setiap syarikat telekomunikasi membuat penambahan kapasiti sementara.

"Gangguan ini berlaku kerana perkhidmatan mudah alih disambungkan menerusi satu sel dengan anggaran 5,000 pengguna.

"Jadi, sekiranya berlaku lebihan pengguna berbanding anggaran asal, sudah pasti dropped called berlaku," katanya.

Menurutnya lagi, keadaan tersebut berbeza dengan panggilan talian tetap yang sambungannya dibuat dari ibu sawat mengikut jumlah rumah yang menggunakan perkhidmatan berkenaan.

Share this article
Follow