Media & Events

Emkay bangunkan Pulau Banding

28 Oct 2007
GERIK 28 Okt. – Usaha kumpulan syarikat hartanah terkemuka tempatan, Kumpulan Syarikat Emkay (Emkay) untuk membangunkan Pulau Banding, sebagai destinasi ekopelancongan utama dunia, merupakan langkah yang tepat pada masanya bagi kawasan yang terletak dalam Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER). Usaha pembangunan tersebut terus mendapat suntikan positif apabila pulau buatan manusia dengan keluasan 240 hektar itu bakal menerima perkhidmatan talian selular dan talian tetap dengan lebih meluas yang akan dibangunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Pengerusi SKMM, Datuk Dr. Halim Shafie berkata, pihaknya akan memasang perkhidmatan talian tetap untuk akses kepada internet bagi kemudahan pengunjung di kawasan-kawasan tertentu di Pulau Banding yang kini dimiliki sepenuhnya oleh Emkay. “Dan sekiranya ada kawasan-kawasan lain di Pulau Banding yang memerlukan akses ke internet, kita akan bantu,” katanya kepada pemberita di sini. Pada 31 Julai lepas, Emkay mengumumkan akan membangunkan pulau itu sebagai pintu masuk ke Kompleks Hutan Belum-Temenggor yang berusia 130 juta tahun, meliputi Taman Negeri Royal Belum, Hutan Simpan Belum dan Hutan Simpan Temenggor. Pembangunan pulau itu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM600 juta apabila siap sepenuhnya mampu menjana pendapatan daripada sektor pelancongan dan peluang perniagaan kepada masyarakat setempat khususnya Orang Asli, kata Pengerusi Emkay Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar.
Share this article
Follow