Media & Events

FNM Bangunkan Platform Hos Kandungan Bersepadu Tempatan

02 Apr 2012, Bernama
KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Dalam usaha menjadi hos kandungan tempatan, kerajaan menerusi Filem Negara Malaysia (FNM) kini dalam proses mewujudkan platform penghosan kandungan bersepadu bersama penyedia penghosan kandungan tempatan. Laporan Tahunan Program Transformasi Ekonomi (ETP) 2011 oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) menyebut platform itu akan menyediakan akses mudah kandungan tempatan kepada pihak yang berminat dan memacu kandungan kepada format digital. Inisiatif projek permulaan (EPP) ini adalah daripada 10 EPP dalam Infrastruktur dan Kandungan Komunikasi, Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA). EPP yang memacu Industri Kandungan Kreatif Malaysia, menyasarkan untuk merealisasikan kewujudkan kandungan tempatan sektor penyiaran/pengedaran dan perkhidmatan dengan sasaran mentransformasi Malaysia sebagai hab serantau untuk kandungan digital, dan dalam proses itu mewujudkan 10,326 peluang pekerjaan. Bagi meningkatkan bakat, kerajaan sudah memuktamadkan kerangka keja bagi Pembelajaran Sepanjang Hayat Industri Kreatif bagi menangani jurang bakat dalam industri kandungan kreatif. "Kerajaan memperuntukkan geran kewangan untuk program ini yang diurus oleh Perbadanan Pembangunan Multimedia dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. "Dalam mengakreditasi dan menyenaraikan bakat, Persatuan Industri Kandungan Kreatif ditubuhkan untuk menambah bilangan profesional dalam industri," kata laporan itu. Sementara itu, menerusi EPP 2 -- mengesan dan menjejak, SmarTAG Solutions Sdn Bhd sudah bersedia mengeluarkan sistem keselamatan dan kemudahan perdagangan di 80 pejabat Kastam di seluruh negara pada 2012. Rundingan juga sedang dijalankan bagi menetapkan kadar komersil untuk perkhidmatan terbabit. EPP juga mengenal pasti aplikasi teknologi Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) sebagai kaedah untuk menjana manfaat ekonomi. Projek pertama menerusi EPP yang akan dilaksanakan oleh SmartTAG dengan usaha sama Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), membolehkan pemantauan kandungan bagi memudahkan pelepasan di pelabuhan tempatan dan laluan terpilih lain. Setakat ini, 18 pusat pemeriksaan kastam sudah dipasang dengan sistem itu dan proses pelepasan oleh jabatan itu bagi setiap kontena kini 43 minit lebih cepat. Laporan itu menyebut sistem pengesanan dalam talian sarang burung walit, projek kedua EPP 2, sedang diaplikasikan bagi mendaftarkan 300 rumah sarang burung dan kilang pemprosesan, membabitkan 3,600 transaksi. Sistem itu yang menggunakan teknologi RFID dalam mengesan dan menjejak pengeluaran sarang burung walit berkualiti tinggi dan berkekalan di Malaysia ke pasaran bernilai tinggi di China, Jepun dan Taiwan. Sebanyak enam peratus daripada 980 rumah sarang burung dan kilang pemproses kini menggunakan sistem itu. "Larangan semasa ke atas import sarang burung oleh China ekoran paras nitrat yang tinggi, menyebabkan berlaku lebihan stok sarang burung dalam pasaran. "Pihak berkuasa berkaitan sedang berunding dengan China mengenai tahap nitrat yang boleh terima, dan sebaik larangan import oleh China ditarik balik, eksport sarang burung Malaysia akan dilakukan menggunakan sistem pengesanan dalam talian sarang burung walit, yang merupakan jaminan tambahan bagi memastikan ketulenan sarang burung dari Malaysia, " katanya. Malaysia kini merupakan satu-satunya negara di Asia Tenggara yang mengeksport terus ke China, pasaran sarang burung terbesar di dunia.
Share this article
Follow