Media & Events

Hina raja: Tujuh individu kena dakwa

05 Oct 2012, Harian Metro

SERAMAI tujuh individu sudah di hadapkan ke mahkamah dengan kebanyakkan daripada kes yang dirujuk membabitkan kesalahan penghinaan terhadap institusi beraja.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum berkata, tindakan berkenaan dilakukan kerana semua jenis kandungan rangkaian termasuk di Internet tertakluk kepada undang-undang.

“Ini termasuk Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Pihak yang difitnah atau dimalukan boleh mengambil tindakan sivil dengan menfailkan saman malu terhadap mereka yang didakwa memfitnah menggunakan rangkaian sosial itu,” katanya menjawab soalan Datuk Abu Bakar Taib (BN-Langkawi).

Dalam soalan utamanya, Abu Bakar meminta Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menyatakan apakah tindakan tegas diambil ke atas blogger dan lain-lain media massa menggunakan media berkenaan untuk menghina negara serta mencetuskan keresahan rakyat.

Abu Bakar juga ingin mengetahui rancangan kerajaan untuk memupuk rasa kecintaan rakyat kepada negara.

Menjawab soalan itu, Joseph Salang berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menubuhkan biro aduan yang menjadi pusat penerimaan semua jenis aduan termasuk penyalahgunaan Internet.

“SKMM menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti pihak yang menyediakan atau menyebarkan kandungan tidak bertanggungjawab itu dan tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya.

Share this article
Follow