Media & Events

Industri Kreatif Disasar Berkembang 11 Peratus Mulai Tahun Ini, Kata Ahmad Shabery

31 Oct 2013, Bernama
KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama -- Kementerian Komunikasi dan Multimedia menyasarkan industri kreatif berkembang 11 peratus setahun mulai tahun ini dan seterusnya meningkatkan sumbangan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 7 peratus menjelang 2020.

Menurut Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, industri kreatif negara ini hanya menyumbang kurang daripada 2 peratus dalam KDNK dan amat sedikit jika dibandingkan dengan Singapura sebanyak 5 peratus dan Kanada 7.4 peratus.

"Kementerian telah menyediakan pelbagai dana dan kemudahan yang berteknologi tinggi untuk para penggiat industri kreatif tanah air dan mereka patut menggunakan dana dan kemudahan ini untuk meningkatkan lagi kualiti program mereka supaya produk industri kreatif kita dapat bersaing dan dipasarkan ke negara luar dan seterusnya memberi sumbangan besar terhadap pendapatan negara," katanya pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Liga Remaja Kreatif Peringkat Kebangsaan di sini Khamis.

Sekolah Menengah Kebangsaan Luar Bandar No 1 Sibu, Sarawak muncul johan pertandingan bagi kali ini menewaskan 838 penyertaan yang lain.

Liga itu merupakan pertandingan mencipta video pendek yang terbuka untuk para pelajar sekolah menengah, dengan bertemakan 'Klik Dengan Bijak', pertandingan yang mendapat penyertaan dari 431 sekolah menengah di seluruh negara.

Ahmad Shabery juga mempelawa para pelajar yang berminat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang industri kreatif supaya memohan biasiswa yang disediakan khas untuk industri berkenaan.

"Kerajaan menyedari kekurangan tenaga pakar tempatan dalam industri ini terutamanya dalam aspek kesan khas dan imej janaan komputer (CGI). Diharap dengan penawaran biasiswa ini tidak lama lagi akan ada anak tempatan yang dapat menghasilkan karya yang setaraf atau lebih dari dari filem Avatar contohnya," katanya.

Liga itu dianjurkan bersama Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Kementerian Pendidikan.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Pengerusi SKMM Datuk Mohamed Sharil Mohamed Tarmizi.
Share this article
Follow