Media & Events

Kemudahan ICT Di Kawasan Pedalaman Tetap Menjadi Keutamaan - Ahmad Shabery

17 Sep 2013, Bernama

TENOM, 17 Sept (Bernama) -- Menyediakan perkhidmatan jalur lebar yang diperluas ke kawasan pedalaman kini lebih memberi penekanan terhadap aspek kelajuan dan liputan Internet, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

"Selalunya yang menjadi kekecewaan 'broadband' di peringkat kampung ialah apabila kelajuan tidak begitu pantas, selalu menghadapi masalah 'buffering' iaitu masalah tersekat-sekat . Ini menyebabkan kekecewaan dan akhirnya orang malas untuk mendapatkan 'content' yang dia mahukan," katanya.

Beliau berkata menyediakan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di kawasan pedalaman tetap menjadi keutamaan kerajaan bagi memastikan penduduk luar bandar tidak terpinggir daripada arus kemajuan.

"Pentingnya komitmen kita, kita mahukan dalam negara ini tidak ada tempat yang rasa terpinggir kerana 3G pun tidak ada, streamyx pun tidak ada, dan tidak ada liputan Internet di tempat mereka.

"Ini antara yang menjadi keutamaan yang perlu kita buat," kata Ahmad Shabery kepada pemberita selepas melancarkan SK Community Broadband Centre (CBC) di Kuala Tomani di sini Selasa.

SK CBC merupakan satu-satunya pusat komuniti jalur lebar di negara ini yang dibangunkan sepenuhnya oleh SK Telecom (SKT) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

SKT ialah syarikat telekomunikasi terbesar di Korea Selatan yang mempunyai hampir 27 juta pelanggan di negara itu.

SK CBC yang menggunakan konsep hampir sama dengan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) menawarkan teknologi baharu seperti 'Giga Wifi, M-caching server dan Self-switching controller' yang membolehkan penduduk Kuala Tomani kira-kira 40km dari sini mengakses Internet secara pantas.

Ditanya mengenai Giga Wifi supaya digunapakai di PI1M , beliau berkata kerajaan perlu mengambil kira dari segi kos sebelum membuat keputusan.

Ahmad Shabery berkata kementerian bersedia mengadakan rundingan dengan SKT berhubung teknologi baharu yang ditawarkan itu dalam usaha membangunkan PI1M bagi meningkatkan prasarana sedia ada di PI1M di seluruh negara.

SK CBC dibuka Isnin hingga Sabtu dari 8.30 pagi dan 4.30 petang untuk memenuhi keperluan penduduk di Kuala Tomani yang mempunyai lapan buah kampung.
Share this article
Follow