Media & Events

Khidmat Telefon Prabayar Gagal Daftar Ditamatkan Hari Ini

30 Dec 2006, UTUSAN MALAYSIA
Semua nombor talian prabayar yang belum didaftarkan sehingga pukul 12 tengah malam ini akan ditamatkan perkhidmatannya secara automatik. Ketua Bahagian Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Adelina Iskandar berkata, tempoh pendaftaran akhir itu tidak akan dilanjutkan. Sehubungan itu, beliau memberi amaran bahawa semua baki tambah nilai pengguna yang belum mendaftar akan dilupuskan kerana pihak penyedia rangkaian (Telko) seperti Maxis, Celcom dan DiGi tidak dapat mengesan para pengguna talian prabayar itu. Katanya, SKMM juga tidak akan bertanggungjawab jika pihak Telko tidak bersedia mendaftarkan para pengguna ekoran sikap orang ramai yang cenderung mendaftar pada saat akhir. Beliau berkata, SKMM juga akan melakukan pengauditan pendaftaran itu bermula esok dan menjangkakan laporan mengenainya dapat diketahui minggu depan. ‘‘Kita juga akan menghubungi nombor talian prabayar yang belum didaftarkan untuk memastikan nombor itu telah ditamatkan. ‘‘Jika didapati ia belum dibatalkan, kami akan menghubungi Telko supaya perkhidmatan itu ditamatkan segera,’’ kata Adelina kepada pemberita di sini hari ini. Menurut beliau, tindakan juga akan diambil ke atas pihak Telko yang gagal menamatkan perkhidmatan berkenaan. Sementara itu, Adelina memberitahu, siasatan akan dilakukan bagi memastikan nombor yang didaftarkan tidak disalahgunakan.
Share this article
Follow