Media & Events

Kutuk filem hina Islam

26 Sep 2012, Harian Metro

AHLI Parlimen membabitkan kerajaan dan pembangkang semalam senada dalam mengutuk penerbitan filem kontroversi Innocence of Muslims yang mencetuskan kemarahan penduduk Islam di seluruh negara menerusi usul khas dibahaskan di Dewan Rakyat, di sini.

Sesi perbahasan jam 11.40 pagi itu menggunakan Peraturan Mesyuarat bagi mendesak dewan untuk membahasakan isu penghinaan menerusi penerbitan filem terbabit kerana ia membabitkan kepentingan umat Islam di Malaysia dan dunia.

Timbalan Yang Dipertua, Datuk Donald Kiandee membenarkan usul berkenaan mengikut Peraturan Mesyuarat 18 (3) (D) untuk mengusulkan perkara itu dalam mesyuarat jam 4.30 petang semalam.

“Saya terima dua pemberitahu usul di bawah Peraturan Mesyuarat mengikut Peraturan Mesyuarat 18 (1) bagi perkara yang sama daripada Yang Berhormat Kubang Kerian pada 21 September 2012 dan Yang berhormat Rembau (Khairy Jamaluddin).

“Bagi membolehkan dipertimbangkan perkara berkenaan perlu memenuhi tiga syarat iaitu perkara kini perkara tertentu, kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan,” katanya membenarkan usul dibahaskan.

Sesi usul berkenaan yang disertai pencadang dan kerajaan menerima kesepakatan dalam mengutuk tindakan penerbitan filem terbabit yang dianggap mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia, selain mengkritik penerbitan filem itu.

Turut berbahas bagi pihak pencadang termasuk Salahudin (Pas-Kubang Kerian), Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Marang), Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) dan Lim Guan Eng (DAP-Bagan).

Selain itu, bagi pihak kerajaan pula diwakili Khairy Jamaluddin, Datuk Alexander Nanta Linggi (BN-Kapit), Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam), P Kamalanathan (BN-Hulu Selangor), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (BN-Padang Rengas) dan Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas.

Sementara itu, Nazri yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, Malaysia tidak akan meluluskan penayangan yang ada unsur kontroversi dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sudah menyekat filem itu.

“SKMM sudah menghantar perundangan untuk menyekat penayangan video berkenaan dan pihak SKMM bersama Google dan YouTube peringkat luar negara sudah menyekat filem itu dari dimainkan di Malaysia.

“Sehingga semalam (kelmarin), 324 pautan yang menayangkan video disekat YouTube, manakala pada hari ini (semalam), 71 pautan baru dikemukakan kepada YouTube untuk sekatan akses di Malaysia,” katanya.

Usul berkenaan dibangkitkan Salahudin Ayub (Pas-Kubang Kerian) bagi membahaskan isu penerbitan filem Innocence of Muslims yang mencetuskan kemarahan penduduk Islam di seluruh dunia.

“Saya memohon untuk mencadangkan mesyuarat menangguhkan sidang ini bagi membolehkan dewan membincangkan terhadap filem kontroversi Innocence of Muslims berdurasi 13 minit hingga mencetuskan kemarahan penduduk Islam seluruh dunia kerana menghina Islam dan Nabi Muhammad.

“Hampir dua minggu satu penghinaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad berkaitan sebuah filem pendek yang membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia dan bukan saja mendapat bantahan penduduk Islam, tetapi bukan Islam di dunia ini,” katanya.

Menurutnya, penerbitan filem terbabit menyinggung perasaan dan menyentuh sensitiviti umat Islam terhadap Nabi Muhammad serta satu tindakan peringkat antarabangsa perlu difikir oleh Parlimen.

“Berdirinya saya di sini untuk menyatakan pendirian kita dan meminta Parlimen supaya satu suara tanpa batasan kaum untuk memelihara ketamadunan. Saya pohon mencadang,” katanya.

Share this article
Follow