Media & Events

Labuan Perlu Punyai Kadar Penembusan Internet Lebih Baik - Rais

12 Jan 2013, Bernama
LABUAN, 12 Jan  (Bernama) --  Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memantau masalah akses dan penembusan Internet di Labuan dan kawasan sekitarnya berikutan kepentingannya kepada pelbagai pemain industri di pulau ini.

Menterinya Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata kementerian prihatin dengan isu itu dan usaha sedang dilakukan untuk memastikan semua negeri di negara ini mempunyai akses Internet yang baik.
 
"Pemain-pemain industri di pulau ini terutamanya Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (LabuanFSA) telah mengadu mengenai masalah akses sejak dua tahun lepas disebalik telah membuat aduan dan laporan kepada pihak berkuasa relevan seperti Telekom Malaysia Berhad.
 
"Kami mahu hubungan Internet yang lebih baik di pulau ini untuk pemain industri kerana ia merupakan hab utama bagi kewangan dan minyak dan gas di negara ini," katanya pada program perpaduan "Kasih Sayang Komuniti 1Malaysia" di sini hari ini.
 
Rais berkata pulau ini tidak harus ketinggalan daripada segi hubungan Internet kerana ia penting bukan sahaja kepada rakyat tetapi juga industri.
 
Kebanyakan syarikat beroperasi di Labuan, sama ada sektor kewangan atau minyak dan gas berurusan dengan syarikat antarabangsa dan dengan itu, penembusan Internet amat penting, katanya.
 
Rais juga berkata penglibatan masyarakat semua peringkat dan lapisan untuk memperkukuhkan perpaduan diperlukan dan sehubungan itu lebih banyak program berkaitan perpaduan perlu dianjurkan.
 
"Kami sedang mengkaji lebih banyak program perpaduan untuk menghimpunkan semua lapisan masyarakat, khususnya belia untuk lebih dekat dengan kerajaan," katanya.
 
Menteri itu juga mahu menempatkan semua agensi dan jabatan di bawah kementeriannya untuk beroperasi di bawah satu bumbung di Labuan, sepertimana di Kota Kinabalu.
 
Kini agensi dan jabatan di bawah kementerian di Labuan seperti Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Jabatan Penerangan, Muzium Negara Malaysia, Radio Malaysia Labuan dan POS Malaysia beroperasi di lokasi dan pejabat berbeza.
 
Sementara itu, Rais berkata pengenalan BR1M 2.0 (Bantuan Rakyat 1Malaysia) membuktikan keikhlasan dan keprihatinan  kerajaan dalam membantu golongan yang memerlukan, walaupun ia dipolitikkan pihak tertentu.
 
"Ia demi rakyat dan kerajaan menunaikan janjinya," katanya.
Share this article
Follow