Media & Events

MCMC gesa MYTV dan TM selesaikan gangguan siaran TV digital

16 Nov 2018, bernama

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggesa MYTV Broadcasting Sdn Bhd (MYTV) dan Telekom Malaysia (TM) menyelesaikan gangguan perkhidmatan ujian televisyen digital yang sedang berlaku.

MCMC dalam satu kenyataan berkata sehingga 14 Nov, ujian transmisi ke beberapa negeri iaitu Kelantan, Pahang, Terengganu, Negeri Sembilan, Perak, Melaka, Sabah dan Sarawak telah terjejas.

“MCMC sudah mengadakan beberapa mesyuarat dengan pihak MYTV dan TM bagi memudahcara kepada masalah yang dihadapi.

“MYTV dan TM telah diarah untuk menyelesaikan masalah yang berkaitan agar perkhidmatan tv digital kepada penonton dapat ke udara semula secepat mungkin,” katanya.

MYTV sebelum ini dilaporkan meminta MCMC campur tangan dalam menyelesaikan pertikaiannya dengan TM.

Kenyataan itu turut menyatakan bahawa MCMC difahamkan MYTV telah memajukan cadangan penyelesaian masalah berkenaan untuk dipertimbangkan pihak TM.“Demi kepentingan penonton, MYTV dan TM tidak seharusnya lupa akan penyampaian perkhidmatan mereka kepada rakyat. Mereka perlu bekerja lebih keras bagi menyelesaikan masalah komersial mereka dengan pantas.

“MCMC sedang memantau perkembangan projek tv digital dengan rapi bagi memastikan sasaran penutupan siaran analog kekal pada suku pertama 2019,” katanya.

Kenyataan itu turut menyatakan orang ramai masih boleh menonton rancangan televisyen yang disediakan perkhidmatan televisyen percuma di platform analog.

Share this article
Follow