Media & Events

MCMC lancar kempen tingkat kesedaran pengguna

29 Oct 2001, Utusan Malaysia
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah bergabung dengan pengendali-pengendali telefon mudah alih negara ini untuk melaksanakan satu kempen publisiti untuk meningkatkan kesedaran para pengguna mengenai hak-hak dan tanggungjawab mereka di dalam rangkaian telekomunikasi. Dijadualkan dimulakan pada pameran Komunikasai dan Multimedia ASEAN 2001 (ACM 2001) yang bermula di sini esok, kempen `memperkasa pengguna' RM0.5 juta itu akan menumpukan kepada mendidik para pengguna mengenai hak-hak dan tanggungjawab mereka melalui pelbagai aktiviti yang menggembirakan dan bermaklumat. Pengerusi MCMC Tan Sri Nuraizah Abdul Hamid berkata bahawa program kesedaran pengguna itu dicetuskan oleh keperluan untuk melatih dan mendidik para pengguna Malaysia mengenai betapa pentingnya bagi mereka sedar sepenuhnya mengenai perkembangan berkaitan di dalam pasaran ``agar mereka boleh memperoleh penggunaan maksimum daripada perkhidmatan yang mereka langgani.'' "Pendidikan pengguna patut digunakan sebagai alat untuk mewujudkan masyarakat yang lebih bermaklumat, arif dan canggih'' beliau berkata di dalam satu sidang media mengenai kempen itu hari ini. Menurut Nuraizah, komunikasi telefon mudah alih telah dipilih sebagai permulaan kerjasama yang julung-julang kali antara MCMC dan kumpulan-kumpulan industri kerana pertumbuhan yang mengagumkan dan kesan komunikasi selular ke atas pengguna-pengguna Malaysia. Menurutnya kerjasama itu menjadi kenyataan setelah satu siri mesyuarat bermula Julai tahun ini antara MCMC dan wakil-wakil kanan pembekal perkhidmatan telefon mudah alih berlesen, iaitu Celcom, DiGi, Maxis, Telekom Malaysia, TM Cellular, TIME dotCom dan TIMECel. Pada mesyuarat itu, adalah ditentukan bahawa ACM 2001 merupakan satu peluang yang baik untuk melancarkan program itu. Kadar penembusan telefon mudah alih Malaysia pada Jun 2001 dicatatkan sebanyak 29 setiap 100 penduduk atau 6.8 juta pelanggan kesemuanya (penduduk Malaysia 22.5 juta).
Share this article
Follow