Media & Events

MCMC Umum Harga Pengagihan Semula Spektrum

01 Sep 2016, bernama
KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengumumkan harga pengagihan semula bagi spektrum 900MHZ & 1,800MHZ.

Dalam satu kenyataan Pengerusi SKMM Datuk Seri Dr Halim Shafie berkata kedua-dua jalur spektrum diagihkan dengan bayaran kepada Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile, untuk tempoh 15 tahun.

Halim berkata pengagihan semula itu adalah selari dengan keputusan kerajaan untuk mengoptimumkan penggunaan sumber spektrum.

"Satu kajian telah dijalankan, dan fi ditetapkan bagi setiap blok 2x5MHz dalam setiap jalur 900MHz dan 1,800MHz," katanya.

Kos bagi blok 2x5MHz dalam jalur 900MHz sebanyak RM499.725 juta dan blok 2x5MHz dalam jalur 1,800MHz pula sebanyak RM217.77 juta.

Jumlah bayaran yang perlu dibayar oleh setiap peserta bergantung kepada jumlah spektrum yang diperuntukkan kepada mereka dalam jalur tersebut.

Halim juga menjelaskan bahawa untuk memastikan kos tidak dilepaskan kepada pelanggan, peserta dikenakan syarat supaya menawarkan pakej yang lebih murah daripada harga semasa.

Beliau berkata pendekatan yang sama dalam pengoptimuman spektrum, akan diaplikasikan ke atas semua jalur spektrum yang berkaitan seperti 700MHz, 2,300MHz dan 2,600Mhz.
Share this article
Follow