Media & Events

Penembusan jalur lebar bertambah 66.6 peratus

25 Jul 2013, Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 24 Julai - Kadar penembusan jalur lebar negara telah bertambah daripada 25 peratus pada tahun 2006 kepada 66.6 peratus pada suku pertama 2013 manakala kadar liputan selular bagi kawasan berpenduduk ditingkatkan daripada 82 peratus pada 2008 kepada 96.8 peratus pada suku pertama tahun ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, kejayaan meningkatkan penggunaan internet itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan melaksanakan pelbagai projek di bawah program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) untuk mengurangkan jurang digital antara penduduk luar bandar dengan bandar.

“Projek-projek ini merangkumi penyediaan perkhidmatan talian telefon tetap, perkhidmatan jalur lebar komuniti dan peluasan liputan telefon selular awam di bawah Pelan Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan (NBI).

“Antara strategi NBI adalah pelaksanaan perkhidmatan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi yang menyediakan kelajuan melebihi 10Mbps di kawasan-kawasan ekonomi berimpak tinggi dan dijangka diperluaskan sehingga ke negeri Perlis pada tahun 2014," katanya dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Chiew Lian Keng yang bertanyakan usaha kerajaan menerusi PPS untuk merapatkan jurang komunikasi di antara bandar dengan luar bandar.

Sementara itu, Jailani memberitahu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyekat sebanyak 6,640 laman web sejak tahun 2008 kerana melanggar pelbagai kesalahan manakala 29 kes dalam siasatan bagi kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

“Di Malaysia, kerajaan tidak mengawal aliran maklumat di internet kerana pendirian dan jaminan kerajaan menerusi MSC Bill of Guarantee dan peruntukan Seksyen 3(3) AKM 1998 bahawa tiada penapisan internet.

“Walau bagaimanapun, pendirian tersebut bukanlah jaminan bahawa kebebasan mutlak diberi kepada pengguna untuk menyalahgunakan kemudahan yang disediakan kerajaan," katanya.

Tambahnya, tindakan turut telah dikenakan terhadap pelbagai kesalahan termasuk laman web bank palsu, pelanggaran hak cipta, kandungan lucah dan penghinaan terhadap institusi diraja.

Beliau yang menjawab soalan Senator Abdul Shukor Mohd. Sultan memberitahu, Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia telah didaftarkan sebagai forum industri untuk mempromosikan kawal selia kendiri di antara penyedia kandungan, penggiat industri dan pengguna.


Share this article
Follow