Media & Events

Perlu bijak layari Internet elak tertipu

29 Jan 2013, Harian Metro

Kuala Lumpur: “Isu penipuan Internet bukan tanggungjawab perseorangan sebaliknya membabitkan semua anggota masyarakat,” kata Ketua Pengawal Kawal Selia dan Pengawasan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Datuk Jailani Johari.

Menurutnya, kes penipuan Internet seperti terpedaya cinta palsu sehingga kerugian beribu ringgit sering berlaku akibat sikap individu yang tidak berhati-hati dan mudah percaya orang lain yang berniat menipu.

“Masyarakat harus bijak apabila melayari Internet seperti laman sosial. Jangan cepat terpengaruh kerana Internet umpama pisau yang boleh memotong dan membunuh,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menerusi rangkaian Internet tanpa sempadan, beliau berpesan supaya setiap anggota masyarakat mengelak daripada terus melayari laman sosial tanpa tujuan jika tahu implikasi ditipu.

Katanya, SKMM turut memainkan peranan meningkatkan kesedaran terhadap kes penipuan Internet melalui program Klik Dengan Bijak yang dijalankan sejak awal tahun lalu.

“SKMM berusaha memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kelebihan dan kekurangan Internet. Program ini mendapat sambutan yang baik dan ia diteruskan ke pelbagai lokasi mengikut negeri seluruh negara,” katanya.

Jailani berkata, kesedaran mengenai implikasi Internet sangat penting supaya mereka tidak menyalahkan orang lain apabila ditipu. Malah, peranan ibu bapa juga penting dalam memantau pergerakan anak-anak.


“Mengikut kes yang berlaku, wanita bujang sering ditipu kerana mungkin mereka mahu mencari cinta dan pasangan hidup. Kami mensasarkan golongan belia ke atas menyertai program ini dan menimba pengetahuan untuk diri sendiri,” katanya.

Presiden Lembaga Kaunselor Profesional Malaysia, Prof Madya Dr Mohamed Fadzil Che Din pula berkata, perkembangan pantas teknologi maklumat memberi kesan pada kehidupan manusia sehingga bersikap lalai dan sukar menyesuaikan diri dengan persekitaran.

Share this article
Follow