Media & Events

PI1M Bantu Warga Emas Celik IT

22 Sep 2013, Bernama
KENINGAU (Sabah), 22 Sept (Bernama) -- Kewujudan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) bukan sahaja membolehkan penduduk luar bandar mendapat kemudahan capaian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), malah turut mendedahkan warga emas kepada teknologi tersebut.

Pengurus PI1M Pekan Bingkor di sini Nor'Ain Salman berkata selain terdapat ruang melayari internet (internet kafe), pusat internet itu turut menyediakan latihan komputer kepada anggotanya termasuk warga emas.

"Sejak PI1M ini dibuka pada 15 Oktober 2009, saya telah mengajar pengunaan komputer kepada ramai warga emas, malah terdapat warga emas yang takut untuk menggunakan komputer pada permulaan.

"Ada satu ketika itu ada warga emas yang tidak berani sentuh 'mouse' (tetikus) komputer sebab takut komputer meletup," katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Nor'Ain, 29, berkata kebanyakan golongan warga emas itu ialah pemimpin kampung seperti Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) dan Ketua Kampung yang diajar cara untuk menaip surat dan mengakses internet bagi memudahkan mereka menghasilkan kertas kerja bagi urusan pentadbiran peringkat kampung.

Katanya, PI1M Pekan Bingkor setakat ini mempunyai 1,730 anggota yang berdaftar, dan daripada jumlah tersebut seramai 39 anggota merupakan warga emas yang berumur 60 tahun ke atas.

"Hendak jadi anggota PI1M perlu bayar yuran keanggotaan sebanyak RM5 untuk seumur hidup, dan keanggotaan kita terbahagi kepada anggota biasa iaitu yang datang untuk melayari internet dan menjalani latihan komputer dan satu lagi anggota yang ingin menggunakan Wifi PI1M," katanya.

Nor'Ain berkata kelas latihan komputer itu diadakan setiap Selasa, Rabu dan Khamis dan terdapat sesi pagi dan petang, dan tempoh yang diperlukan untuk mengajar golongan itu adalah antara tiga hingga empat bulan.

Sementara itu, Budan Ansuab, 68, berkata dia berasa bertuah kerana berpeluang mempelajari komputer yang membolehkannya mendapat kemahiran menaip surat, di samping menimba pengetahuan dengan menggunakan kemudahan ICT yang disediakan di PI1M.

"Saya gembira dengan penubuhan PI1M ini yang mana saya dapat sedikit pengalaman. Sebelum datang sini saya tidak tahu menaip sekarang sudah boleh menaip sedikit dan rasa bangga kawasan kampung saya ini ada kemudahan seumpama ini," katanya.

Budan yang juga Pengerusi JKKK Kampung Bingkor Baru di sini mengakui pada permulaan mempelajari komputer, dia berasa kekok dan takut namun lama-kelamaan dia berasa selesa selepas didedahkan mengenai cara penggunaan peralatan komputer.

Kini beliau tidak lagi gementar untuk menggunakan komputer, bukan sahaja untuk menulis surat tetapi juga untuk membuat kertas kerja ataupun projek untuk memohon peruntukan bagi kampungnya, katanya dengan bangga.

Malah beliau kini memiliki sebuah komputer riba dan peralatan mencetak di rumahnya bagi memudahkan urusan kerjanya, katanya.

Bagi Ketua Kampung Tangkongan, Bingkor Malik Pinsil, 72, berkata pusat tersebut telah mendedahkannya kepada komputer, yang sebelum ini tidak terlintas untuk beliau mempelajarinya.

"Zaman dahulu waktu saya kecil mana ada semua ini dan saya pun belum pernah tengok secara dekat sebegini dengan menggunakan komputer tetapi sekarang sudah boleh menggunakan komputer biarpun tidak cekap," katanya.

Malik berkata ia satu perkara baik untuk warga emas sepertinya kerana membolehkan dia celik IT, di samping mendapat pendedahan berhubung dunia luar menerusi capaian internet.

Dalam pada itu, Ketua Bahagian Pembangunan Luar Bandar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Uzer Tajudin berkata PI1M ditubuhkan sebagai inisiatif kerajaan untuk merapatkan jurang digital antara penduduk luar bandar dengan bandar.

Setakat ini terdapat 359 PI1M yang beroperasi di seluruh negara dan daripada jumlah ini sebanyak 47 PI1M terdapat di Sabah, dan kira-kira 700,000 penduduk luar bandar di seluruh negara kini telah mendapat manfaat kemudahan akses ICT sejak penubuhan PI1M pada 2007.

PI1M sebelum ini dikenali sebagai Pusat Jalurlebar Komuniti (PJK), katanya.
Share this article
Follow