Media & Events

Rebat RM200 belia pendapatan bulanan RM3,000 ke bawah beli telefon 3G

29 Sep 2012, Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 28 Sept. - Golongan belia bakal menikmati rebat sebanyak RM200 bagi pembelian satu unit telefon mudah alih pintar 3G.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pakej khas itu akan diperkenalkan kerajaan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan syarikat telekomunikasi.

Menurut beliau, sebanyak RM300 juta disediakan untuk tujuan tersebut dan akan dimanfaatkan oleh 1.5 juta belia.

"Ia terbuka mereka yang berumur antara 21 hingga 30 tahun dengan pendapatan bulanan RM3,000 ke bawah," katanya dalam pembentangan Bajet 2013 di Dewan Rakyat hari ini.

Najib berkata, kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM50 juta untuk melaksanakan empat langkah bagi menyokong peranan dwi-wanita.

Pertama, melatih seramai 500 wanita di bawah Program Pengarah Wanita untuk diketengahkan sebagai ahli lembaga pengarah syarikat dan kedua, melaksanakan program Ikubator Keusahawanan Ibu Tunggal (I-Kit) bagi khidmat nasihat dan latihan keusahawanan.

Ketiga, melalui Program Get Malaysian Business Online, seramai 50,000 usahawan kecil akan dibantu meningkatkan jualan dalam talian dengan geran RM1,000 melalui peruntukan RM50 juta oleh SKMM.

Keempat, memperuntukkan sebanyak RM25 juta bagi kemudahan pemeriksaan percuma ujian mamogram yang bakal dimanfaatkan oleh 100,000 wanita berumur 40 tahun ke atas.

Najib menambah, program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) pula akan menerima peruntukan sebanyak RM1.2 bilion melalui bantuan warga emas, kanak-kanak, elaun pekerja orang kurang upaya dan penyakit kronik.

Katanya, kerajaan turut memperuntukkan RM400 juta untuk program Akhiri Zaman Miskin (1Azam) yang bakal membabitkan 58,330 peserta.

Menurut beliau, kerajaan juga akan mewujudkan lima lagi Anjung Kasih di Hospital Sibu, Miri, Temerloh, Seremban dan Ipoh bagi menyediakan penginapan sementara dan selesa kepada pesakit miskin dan keluarganya.

Share this article
Follow