Media & Events

RM1.5 juta tingkatkan internet di Mukim Gua

24 Nov 2013, Utusan Malaysia

KUALA LIPIS 24 Nov. - Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta untuk meningkatkan kemudahan internet jalur lebar berkelajuan tinggi serta rangkaian WiFi di Mukim Gua, daerah Lipis tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long, berkata, selain itu, Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) yang diselenggara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga akan mula beroperasi di Kampung Gua penghujung tahun ini.

Katanya, kemudahan itu dapat memberi manfaat kepada 2,000 penduduk berpendapatan rendah di luar bandar di Lipis menikmati perkhidmatan internet dengan mudah dan canggih.

"Pusat ini menyediakan kemudahan 20 unit komputer dan 10 unit daripadanya dikhaskan untuk proses pembelajaran dan latihan mengenai kemahiran menyelenggarakan program dan pembinaan laman web.

"Dua pembantu telah dilantik untuk menguruskan pusat ini dengan menyediakan program latihan dan bimbingan berterusan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) secara percuma kepada penduduk di sini," katanya selepas meninjau perkembangan PI1M Mukim Gua, di Kampung Gua, di sini semalam.

Yang hadir sama, Pegawai Daerah Lipis, Datuk Mohamad Noor Abdul Rani, Penghulu Mukim Gua, Zarizal Zah Hamri dan Pemangku Penghulu Mukim Telang, Abdullah Zawawi Kamaludin.

Menurut Mustapa, PI1M diwujudkan untuk membantu mengurangkan jurang digital dalam kalangan komuniti luar bandar dengan bandar besar sekali gus memacu kemahiran ICT kepada pelajar.

"Kemudahan di PI1M ini bukan sahaja menjana pengetahuan dan kemahiran pelajar mengakses maklumat pelajaran mereka tetapi turut memberi keselesaan orang dewasa termasuk warga emas mempelajari dan menguasai bidang ICT," katanya.

Tambahnya, semua pihak boleh mengakses laman web di PI1M untuk pengetahuan umum dan khusus, iaitu pencarian maklumat dalam bidang keagamaan, pertanian, pelancongan, industri dan maklumat yang boleh membina kehidupan dan akhlak.

''Penting untuk kita manfaatkan kemudahan ini dengan beretika. Ibu bapa juga perlu ambil tahu laman web yang dilayari oleh generasi muda kita agar mereka tidak terpengaruh dengan gejala negatif," katanya.

Share this article
Follow