Media & Events

Sasar 500 e-majalah sekolah

26 Jan 2018, Harian Metro

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mensasarkan 500 sekolah rendah dan menengah bagi program pembangunan dan penghasilan Majalah Sekolah Digital (E-Majalah) tahun ini dalam menggalakkan pelajar mengembangkan kreativiti dan inovasi melalui penghasilan kandungan digital.

Ketua Pegawai Sektor Komunikasi dan Ekosistem Digital SKMM Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus berkata, sejak 2016 hingga tahun lalu, pihaknya sudah melaksanakan program berkenaan membabitkan 91 sekolah rendah dan menengah.

 

"Buat masa ini, program ini sudah dilaksanakan di Kemaman, Terengganu; Kota Belud, Sabah; Lundu, Sarawak dan yang terkini adalah Putrajaya seiring dengan inisiatif Komuniti Pintar SKMM.

"Usaha ini adalah satu daripada cara memupuk kreativiti terhadap pembangunan digital dalam kalangan pelajar dengan pembabitan guru bagi pembikinan E-Majalah," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Hadiah Program E-Majalah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 14 (1) di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Ali Hanafiah berkata, penghasilan E-Majalah bukan saja menggalakkan kreativiti dalam kalangan pelajar malah, kos pengeluaran juga dapat dijimatkan.

Pada majlis berkenaan, SMK Putrajaya Presint 14 (1) diumumkan juara Pertandingan E-Majalah dan menerima hadiah trofi, sijil dan wang RM3,000 diikuti tempat kedua, SMK Cyberjaya yang memenangi wang RM2,000 manakala tempat ketiga, SMK Putrajaya Presint 9 (1) dengan hadiah RM1,000.

Untuk sekolah rendah, Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 9 (2) diumumkan juara dan menerima trofi, sijil dan wang RM3,000; diikuti SK Cyberjaya yang membawa pulang RM2,000 manakala, tempat ketiga SK Putrajaya Presint 9 (1) yang memenangi RM1,000.

Program E-Majalah adalah anjuran SKMM dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan Pejabat Pendidikan Daerah dalam mentransformasikan majalah sekolah ke arah digital dijalankan di bawah inisiatif Komuniti Pintar.

Sebelum pertandingan, sekolah terbabit akan menghantar wakil bagi menghadiri siri bengkel penghasilan E-Majalah dilaksanakan pihak SKMM.

Inisiatif berkenaan turut menyokong ke arah pengurangan penggunaan kertas dan lebih mesra alam.

Share this article
Follow