Media & Events

Semua Perkhidmatan Telekomunikasi & Internet Lancar Pada Hari Mengundi

06 May 2013, MStar

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati perkhidmatan telekomunikasi dan internet beroperasi seperti biasa pada hari mengundi dan tidak lumpuh seperti yang telah dikatakan dalam media sosial baru-baru ini.

Pemantauan yang dijalankan sepanjang hari pada 5 Mei oleh SKMM bersama-sama pihak pembekal perkhidmatan mendapati sistem telekomunikasi di seluruh negara pada keseluruhannya beroperasi seperti biasa.

"Orang ramai dinasihatkan supaya jangan mudah mempercayai apa yang dibaca dalam media sosial atau khabar angin yang disebarkan melalui sistem pesanan ringkas," kata Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi.

"SKMM mengesan hanya segelintir laman sesawang yang telah digodam atau mengalami serangan DDOS yang kecil. Dato' Sharil juga menambah, jika terdapat gangguan dalam perkhidmatan internet, salah satu daripada sebab berlakunya begitu mungkin kerana terlalu ramai pengunjung yang melayari laman web berkenaan untuk mendapat perkembangan mutakhir PRU-13.

SKMM menasihatkan pemilik-pemilik laman sesawang terus mempertingkatkan tahap keselamatan laman sesawang masing-masing dan berharap agar kewaspadaan sedemikian dapat dikekalkan. 

Share this article
Follow