Media & Events

SKMM, polis perlu bekerjasama halang kegiatan judi pilihan raya Internet

02 Mar 2013, Utusan Malaysia

KOTA SAMARAHAN 2 Mac - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta pasukan polis perlu bekerjasama bagi menghalang mana-mana laman web menjalankan kegiatan judi pilihan raya menerusi Internet.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof berkata, langkah itu perlu kerana kegiatan judi pilihan raya dalam Internet dijangka diadakan secara besar-besaran menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.

Menurutnya, kegiatan judi pilihan raya akan menjalankan operasi yang menggunakan kaedah seperti aktiviti judi bola sepak tetapi pertaruhan membabitkan parti dan calon yang bertanding.

"Sehubungan itu, dua badan kerajaan ini perlu merangka pelan tindakan penguatkuasaan bersama iaitu meningkatkan sistem teknologi maklumat masing-masing.

"Ini kerana melalui sistem teknologi maklumat yang canggih pihak polis dapat mengesan kegiatan perjudian tersebut dengan lebih mudah manakala SKMM boleh bertindak menyekat laman web haram itu serta-merta," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau sebelum itu berucap dan merasmikan Karnival Teknologi Maklumat 2013 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak di sini.

Share this article
Follow