Media & Events

SKMM digesa tumpu masalah keseluruhan perkhidmatan

14 Dec 2012, Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 14 Dis. - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) digesa tidak hanya memberi perhatian terhadap masalah talian telefon mudah alih yang tiba-tiba terputus atau dropped calls tetapi turut meliputi keseluruhan perkhidmatan syarikat telekomunikasi.

Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya berkata, pihaknya sebelum ini turut menerima banyak rungutan berkaitan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan.

Menurut beliau, masalah yang sering dikemukakan adalah berkaitan kos yang tidak berpatutan dengan masa panggilan pengguna.

“Pengguna talian prabayar sering mengadu baki kredit mereka cepat habis walaupun membuat panggilan hanya beberapa saat manakala bil yang dikenakan kepada pengguna pasca bayar tidak berpatutan dengan khidmat diberikan.

“Masalah sebegini sering membuatkan pengguna berasa tertipu dengan janji dan tawaran menarik yang disediakan syarikat telekomunikasi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas amaran keras SKMM semalam yang memberi kata dua kepada syarikat telekomunikasi untuk menyelesaikan segera masalah talian telefon mudah alih yang tiba-tiba terputus atau berdepan tindakan undang-undang.

Tambah Saharuddin, isu berkaitan pembelian lagu dan pengiklanan dalam talian juga sering mengganggu pengguna apabila banyak tawaran perkhidmatan itu diterima menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) walaupun tidak dilanggan.

Katanya, masalah itu sering membelenggu pengguna sehingga ada yang melabelkan syarikat telekomunikasi sebagai organisasi yang tamak dan tiada kejujuran dalam berniaga.

“Sehubungan itu, SKMM perlu mengambil tindakan tegas terhadap syarikat telekomunikasi yang tidak telus dalam menyediakan perkhidmatan kerana boleh dianggap menganiaya pengguna," katanya.




Share this article
Follow