Media & Events

SKMM nafi keluarkan memo

16 Mar 2012, Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 16 Mac - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menafikan pernah mengeluarkan memo mengarahkan syarikat telekomunikasi tempatan mengenakan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus terhadap pelanggan pra-bayar bermula 1 Julai ini. Sebaliknya, kata Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi, pihaknya masih berbincang dengan syarikat telekomunikasi tempatan berhubung perkara itu bagi mencari jalan penyelesaian terbaik agar pengguna terus mendapat perkhidmatan komunikasi pada harga berpatutan. ''Sebarang keputusan mengenai perkara itu akan mengambil kira kepentingan pengguna agar mereka tidak terbeban. ''Justeru, laporan mengenai cukai perkhidmatan itu adalah spekulasi semata-mata dan tiada arahan dibuat pihak kami berhubung perkara tersebut,'' katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Beliau mengulas spekulasi yang ditimbulkan oleh sumber yang dipetik oleh Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, bahawa SKMM telah mengeluarkan memo kepada semua syarikat telekomunikasi supaya bersedia secara teknikal terhadap pelaksanaan cukai perkhidmatan enam peratus. Cadangan pelaksanaan cukai sebanyak enam peratus yang sepatutnya bermula pada 15 September tahun lalu ditangguhkan sehingga kajian mengenainya selesai dilakukan. Keputusan penangguhan itu dibuat selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta semua syarikat telekomunikasi mengkaji semula keputusan tersebut kerana ia membebankan rakyat. Cukai perkhidmatan enam peratus terhadap perkhidmatan pra-bayar itu jika dikenakan menyebabkan pelanggan yang membeli tambah nilai RM10 perlu membayar RM10.60 yang mana 60 sen merupakan cukai perkhidmatan.
Share this article
Follow