Media & Events

SKMM terima 76 peratus aduan isu telekomunikasi

21 Feb 2019, kosmo

CYBERJAYA - Isu telekomunikasi merupakan aduan paling banyak diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sepanjang tahun lalu dengan kadar 76 peratus daripada keseluruhan 49,065 aduan yang direkodkan.

Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 17 peratus aduan yang diterima daripada orang awam adalah berhubung isu media baharu manakala baki enam peratus membabitkan isu penyiaran dan perkhidmatan pos.

Menurutnya, dalam tempoh antara bulan Jun hingga Disember tahun lalu, kebanyakan penyedia perkhidmatan telah gagal mematuhi keperluan untuk menyelesaikan 90 peratus aduan dalam tempoh 15 hari bekerja.

“Mengikut Tatacara Amalan Kod Pengguna (GCC), penyedia-penyedia perkhidmatan diwajibkan untuk mematuhi standard Jangka Masa Penyelesaian Aduan (CRT) yang memerlukan 90 peratus aduan dalam tempoh 15 hari bekerja manakala 95 peratus aduan dalam 30 hari.

“Oleh itu, SKMM tidak akan berkompromi dengan mana-mana penyedia perkhidmatan termasuk akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang gagal memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan,” katanya di sini hari ini.

Kenyataan itu berkata, justeru itu, SKMM mengambil beberapa langkah proaktif bagi memastikan aduan para pengguna dapat ditangani dengan segera antaranya memastikan semua penyedia perkhidmatan menghantar laporan suku tahunan mandatori iaitu ketepatan dalam menyelesaikan aduan.

“SKMM juga akan menjalankan proses audit ketepatan bil bagi mengesahkan mekanisme caj dikenakan oleh penyedia perkhidmatan dan meningkatkan sistem pengurusan aduan bersepadu atau ICMS yang memantau jangka masa penyelesaian aduan. - K! ONLINE

“Selain itu, SKMM melakukan kajian terhadap GCC sejajar usaha memperkukuhkan langkah-langkah perlindungan pengguna dan bakal memperkenalkan satu garis panduan pampasan menjelang suku ketiga 2019,” katanya.

Share this article
Follow