Media & Events

Tindakan undang-undang penyebar berita palsu dalam internet, SMS

10 Jan 2013, New Sabah Times

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memperingatkan orang ramai tentang bahayanya penyebaran berita palsu menerusi internet dan SMS. Ini ekoran berita palsu mengenai kesihatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak baru-baru ini.

“Kami mengambil serius perkara ini. Siasatan sedang dijalankan dan seperti biasa kami bekerjasama dengan Polis dan jika didapati melanggar undang-undang, mereka yang terlibat akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang yang sedia ada,” kata Dato’ Mohamed Sharil Tarmizi, Pengerusi SKMM.

Di bawah seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, seseorang yang menggunakan internet atau telefon untuk menyebar berita palsu boleh dikenakan tindakan undang-undang. Jika didapati bersalah mereka boleh didenda RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai diminta untuk tidak menyebarkan berita tersebut melalui SMS atau media sosial kerana berita palsu seperti yang ditulis dalam blog tersebut boleh mengganggu gugat keselamatan negara, kesejahteraan masyarakat dan merupakan pengaruh buruk terhadap kedudukan ekonomi masa kini,” kata beliau lagi.

Share this article
Follow