Media & Events

TV digital myFreeview lebih mudah, berkualiti canggih dan menjimatkan - pengguna

15 Oct 2019, bernama
KUALA TERENGGANU, 15 Okt -- Berkualiti canggih, mudah dan lebih penjimatan.

Demikian reaksi kebanyakan rakyat di Terengganu yang menikmati peralihan siaran analog kepada siaran TV digital myFreeview secara percuma bermula tengah malam tadi.

Zulkifli Harun, 51, berkata beliau mula menerima dekoder percuma TV digital myFreeview itu dua tahun lalu dan sejak itu dapat menikmati saluran TV yang lebih banyak dengan kualiti siaran yang lebih canggih.

"Sebelum ini, siaran sering kali terganggu menyebabkan saya perlu membeli antena yang lebih bagus dan perlu mengalih kedudukan antena untuk mendapatkan siaran yang jelas.

"Namun, dengan adanya TV Digital myFreeview, masalah gangguan siaran tidak pernah berlaku lagi dan kami sekeluarga bersyukur, kerana telah menikmatinya secara percuma dan lebih seronok kerana kualitinya setanding dengan siaran TV berbayar," katanya kepada Bernama hari ini.

Bermula tengah malam tadi, siaran analog bagi wilayah utara dan timur meliputi Perlis, Kedah, Perak, Pulau Pinang, Pahang, Kelantan dan Terengganu telah ditamatkan dan diganti dengan siaran digital.

Sabah dan Sarawak pula akan menjadi negeri terakhir untuk beralih kepada siaran digital sepenuhnya pada 31 Okt.

Bagi Mohamad Nur Hidayat Fauzi, 27, pula, beliau berasa bertuah kerana tidak perlu membeli dekoder TV Digital myFreeview untuk mendapatkan siaran itu secara percuma, kerana beliau baru saja membeli televisyen baharu yang telah 'tersedia' dengan sistem itu.

"Jadi, secara automatik, saya telah menikmatinya secara percuma, tanpa perlu membeli dekoder baharu berasingan.

"Sejak dulu lagi, saya tidak pernah melanggan siaran televisyen berbayar, kerana mahu menunggu siaran TV digital percuma yang disediakan kerajaan," katanya yang mahu memanfaatkan kemudahan itu untuk menambah pengetahuan melalui kepelbagaian rancangan dokumentari yang disediakan setiap saluran itu.

Menerusi siaran TV Digital myFreeview, penonton boleh menikmati pelbagai saluran TV, radio, dan aplikasi baharu seperti membeli-belah dalam talian, pembelajaran interaktif melalui 15 saluran televisyen termasuk TV1, TV2, TV3, NTV7, 8TV, TV9, TV Al Hijrah, dan Bernama News Channel dan enam siaran radio.
Share this article
Follow